Cemburu tak bertempat boleh buat sakit kepala

Merak Jalanan dengar kisah kawan sendiri yang kini hidup dalam suasana tegang di rumah.
Bukan sebab curang, bukan sebab main kayu tiga tapi cuma sebab dikatakan rapat dengan rakan wanita di pejabat.
Ceritanya, isteri di rumah kerap marah-marah tanpa sebab, cemburu tak bertempat sampai urusan dapur pun tergendala.
Kesalahan si suami? Bekerja dengan rakan pasukan wanita di pejabat. Sejak dulu lagi kebanyakan tempat kerja ada lelaki dan wanita sesuai dengan tugas masing-masing.
Semuanya bercampur. Mesyuarat, projek, deadline yang perlukan komunikasi dan keserasian.
Mustahil nak bekerja senyap-senyap tanpa berbincang atau bercakap berlainan jantina. Bagaimanapun, ada yang melihat atau mendakwa ia suatu kemesraan hubungan sedangkan ia hanya tentang kerja.
Tetapi entah kenapa, bila lelaki buat perkara ini, terus dicop menggatal. Tidak dinafikan ada kes curang di tempat kerja tetapi tidak adil dilabel semua begitu.
Merak Jalanan rasa tidak adil bila lelaki sentiasa jadi suspek utama. Dilihat rapat sikit salah. Mesej pasal kerja pun boleh dianggap melebih.
Padahal belum tentu lelaki itu berniat apa-apa. Tidak semua lelaki rapat dengan wanita itu gatal. Ada yang memang profesional dan tahu batas.
Apa yang lebih menyedihkan, kepercayaan dalam rumah tangga boleh runtuh hanya kerana sangkaan. Tanpa bukti, tanpa cerita sebenar. Lelaki dipaksa mempertahankan diri untuk perkara dia sendiri tidak buat.
Sebenarnya, masalah bukan orang ketiga. Isunya ialah rasa tidak selamat yang tak pernah diselesaikan.
Bila itu berlaku, lelaki pula yang terpaksa menanggung akibat, walaupun niatnya cuma satu iaitu cari rezeki bukan cari pengganti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
