Ribuan 'ojol' beri bunga mawar kepada anggota keselamatan di Jakarta

JAKARTA - Kira-kira 2,000 penunggang ojek dalam talian (ojol) melakukan aksi damai dengan mengedarkan kira-kira 2,000 kuntum bunga mawar kepada anggota keselamatan di sekitar Jakarta pada Selasa.
Langkah itu dibuat bagi meredakan situasi di ibu kota Indonesia tersebut yang tegang sejak minggu lalu.
"Kami mahu berdamai dengan anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI), Brimob dan polis," kata penganjur aksi damai itu dikenali sebagai Erna seperti dilaporkan Kompas.com.
Menurutnya, keadaan 'panas' di Jakarta menyebabkan penunggang ojol sukar mencari nafkah.
"Kami mahu mencari wang dan nafkah buat keluarga. Sejak beberapa hari kebelakangan ini situasi masih tidak stabil dan kacau-bilau," ujarnya.
Aksi pemberian bunga mawar itu turut menjadi tular di media sosial dan menerima reaksi positif kebanyakan warganet.
Selain memberi bunga, kumpulan ojol dan anggota keselamatan dilihat saling bermaafan antara satu sama lain atas tragedi kematian rakan mereka, Affan Kurniawan hingga mencetuskan gelombang protes ganas bermula pada Khamis lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

