Protes Indonesia: Elaun perumahan ahli DPR dibatalkan

JAKARTA - Timbalan Yang Dipertua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad mengumumkan bahawa elaun perumahan bagi setiap ahli DPR sebanyak 50 juta rupiah (RM13,000) dibatalkan berkuat kuasa mulai 31 Ogos 2025.
Keputusan itu dibuat susulan protes rakyat yang meluas serta kejadian huru-hara di beberapa kawasan yang turut mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Kami telah berkoordinasi dengan semua pimpinan DPR baru-baru ini dan telah menyampaikan langkah-langkah yang telah dan akan dilaksanakan.
"Pertama, penilaian menyeluruh terhadap semua elaun ahli DPR, khususnya elaun perumahan, dihentikan berkuat kuasa 31 Ogos 2025,” kata Dasco ketika menerima kehadiran mahasiswa di Kompleks Parlimen, Senayan, Jakarta pada Rabu.
Selain itu, Dasco menegaskan bahawa ahli DPR kini tidak dibenarkan melakukan lawatan kerja ke luar negara buat sementara waktu.
Langkah ini selaras dengan arahan Presiden Prabowo Subianto mengenai moratorium lawatan yang tidak perlu.
“Moratorium terhadap lawatan kerja luar negara bagi ahli DPR akan dilaksanakan, termasuk langkah penjimatan dalam setiap lawatan rasmi ke luar negara,” tambahnya.
DPR juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Affan Kurniawan dan semua mangsa insiden semasa demonstrasi baru-baru ini.
Affan dilaporkan maut selepas dilanggar kenderaan perisai Polda Metro Jaya ketika demonstrasi di Pejompongan, Jakarta, Khamis lalu.
“Sebagai pimpinan DPR, kami memohon maaf atas kekhilafan dan kelemahan kami dalam menjalankan tugas mewakili aspirasi rakyat, yang selama ini menjadi tanggungjawab kami,” ujar Dasco.
Beliau menegaskan bahawa reformasi DPR akan diterajui secara langsung oleh Ketua DPR, Puan Maharani, bertujuan mewujudkan institusi perundangan yang lebih telus, efisien dan bertanggungjawab. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

