Pekerja gig akan diiktiraf di sisi undang-undang - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kanan) bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Ahmad Zahid (kanan) bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
A
A
A

SHAH ALAM - Pekerja gig akan diiktiraf kedudukannya di sisi undang-undang dan dilindungi dengan jaminan sosial yang lebih sistematik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat merupakan manifestasi jelas kerajaan tidak membiarkan pekerja gig terus berada di pinggiran tanpa perlindungan sosial dan hak yang sah.

"Syukur Alhamdulillah, pada hari ini kita telah menyaksikan satu detik bersejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 berjaya diluluskan di Dewan Rakyat.

"Kelulusan ini menandakan komitmen kerajaan untuk memastikan lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang terlibat dalam ekonomi gig mendapat perlindungan sewajarnya," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, RUU Pekerja Gig 2025 yang bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja, diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Selepas tujuh tahun digubal, undang-undang itu akhirnya diluluskan setelah dibahaskan oleh 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.

RUU itu meraih sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, tindakan pembangkang yang disifatkan keliru dengan perincian cadangan akta berkenaan apabila tidak meletakkan pekerja sektor terbabit sebagai keutamaan.

Tambah Ahmad Zahid, industri gig bukan lagi fenomena sementara, ia telah menjadi nadi baharu ekonomi negara melibatkan bidang seperti p-hailing, e-hailing, pekerja bebas digital dan pelbagai perkhidmatan dalam talian yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Namun, realitinya sebelum ini ramai pekerja gig masih bekerja tanpa jaminan keselamatan sosial, hak dan suara yang jelas dalam sistem perundangan.

"Sehubungan dengan itu, saya menekankan kepentingan pelaksanaan yang telus, menyeluruh dan berkesan terhadap RUU ini. Sebagai langkah seterusnya, saya akan memantau dan terus berusaha untuk memastikan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia, menyelaras serta memantau perkembangan sektor ini secara khusus.

"Suruhanjaya ini akan menjadi pemangkin kepada keseluruhan ekosistem ekonomi perkongsian ini termasuk pembekal, pembeli, penyedia khidmat, penyedia platform, pekerja GiG, pengguna dan pemacuan pengembangan ekonomi perkongsian ini secara keseluruhannya," katanya.

Sementara itu, beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang penuh dedikasi dalam merangka Rang Undang-undang tersebut.

"Inilah bukti jelas kerajaan sentiasa mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan tiada sesiapa pun yang tercicir daripada arus pembangunan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!