RUU Pekerja Gig 2025: 1.2 juta rakyat tunggu perlindungan, jangan ditangguh lagi

Hassan dan Syed Saddiq
Hassan dan Syed Saddiq
A
A
A

SHAH ALAM - Sudah tiba masanya pekerja gig di negara ini diiktiraf serta dilindungi menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dijangka dibentangkan di Parlimen.

Sokongan terhadap RUU ini disuarakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang menegaskan usaha berkenaan tidak boleh lagi ditangguhkan.

Menurut mereka, RUU itu melibatkan masa depan lebih 1.2 juta rakyat yang bergantung kepada sektor gig sebagai sumber rezeki utama.

“RUU berkenaan adalah langkah bersejarah bagi membina pasaran kerja lebih moden, teratur dan berdaya saing, khususnya dalam sektor gig yang semakin berkembang pesat di negara ini.

“Perlindungan undang-undang juga penting bagi memastikan pekerja gig menikmati jaminan pendapatan, perlindungan sosial dan mekanisme penyelesaian pertikaian,” kata mereka dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut mereka lagi, selama ini ramai pekerja gig berdepan pelbagai risiko termasuk kemalangan, eksploitasi dan kehilangan sumber pendapatan kerana ketiadaan perlindungan sewajarnya.

“Tragedi nahas pesawat di Elmina pada tahun lalu yang mengorbankan seorang pemandu e-hailing sekali gus meninggalkan keluarganya tanpa perlindungan sosial menjadi contoh nyata betapa perlindungan ini amat diperlukan.

“Keputusan Mahkamah pada 2022 yang menolak hak pekerja gig membawa kes ke Mahkamah Buruh kerana tidak diiktiraf sebagai ‘pekerja’ menunjukkan kelemahan besar dalam sistem sedia ada,” katanya.

Keadaan itu, ujar mereka, menyebabkan pekerja gig langsung tidak dilindungi oleh mana-mana undang-undang buruh walaupun berdepan masalah serius sepanjang bekerja.

Artikel Berkaitan:

“Melalui RUU Pekerja Gig 2025, buat pertama kali status mereka akan diperakui dalam undang-undang negara sekali gus membuka jalan kepada jaminan lebih kukuh.

“Antara empat fokus utama yang digariskan termasuk takrif jelas pekerja gig, menjamin kebajikan, meningkatkan daya saing dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap ekosistem ekonomi digital Malaysia.

“Sudah tiba masanya RUU ini dibentangkan dan kami menyeru semua Ahli Parlimen serta pihak berkepentingan untuk menyokong kelulusannya. Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam memastikan tiada rakyat yang tercicir dalam arus transformasi ekonomi baharu,” tegas mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!