RUU Pekerja Gig 2025 lulus, pekerja dapat hak runding gaji dan syarat kerja

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang bakal membolehkan lebih 1.2 juta pekerja sektor itu mendapat hak rundingan gaji dan syarat kerja, diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Selepas tujuh tahun digubal, undang-undang ini akhirnya diluluskan setelah dibahaskan oleh 23 anggota Dewan Rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.

RUU itu meraih sokongan majoriti ahli Parlimen melalui undian suara pada hari terakhir Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, tindakan pembangkang yang disifatkan keliru dengan perincian cadangan akta berkenaan apabila tidak meletakkan pekerja sektor terbabit sebagai keutamaan.

"Misalnya, Rompin (Datuk Abdul Khalib Abdullah) minta kita meneliti pelaksanaan mekanisme undang-undang berkaitan pekerja gig di Sepanyol, tetapi Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) pula kata jangan tiru Sepanyol sebab risau pelabur lari.

"Ada (juga) seakan-akan membangkitkan kebimbangan selama ini dibangkitkan syarikat korporat. Seakan-akan undang-undang ini harus memuaskan hati syarikat korporat, kalau tidak kita jangan setuju dahulu.

"Kita perlu faham, undang-undang ini untuk memberi pembelaan kepada pekerja gig, selain mengekalkan daya saing ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pengulungan perbahasan RUU itu

Dalam pada itu, Steven Sim menjelaskan, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) tidak bercanggah dengan penggubalan RUU berkenaan memandangkan kedua-duanya adalah perkara berbeza.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ini kerana RUU Pekerja Gig 2025 adalah perlindungan perburuhan pekerja gig, selain kerajaan sudah membuat keputusan supaya jawatankuasa mengkaji SEGiM dipimpin Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya yakin beliau (Ahmad Zahid) sebagai antara juara perjuangan pekerja gig ini akan memberi terma, syarat, bidang kuasa dan sebagainya yang tidak bercanggah dengan RUU ini.

"Ada pihak kata RUU ini tiada penguat kuasa dan pihak berkuasa. Ini tidak betul kerana kita ada penguat kuasa daripada Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Perhubungan Perusahaan, Tribunal Pekerja Gig dan PERKESO (juga) ada agensi penguat kuasanya.

"Justeru, tak betul kalau kata tiada SEGiM, maka tiada pihak bertanggungjawab. RUU ini dan SEGiM adalah dua perkara berbeza dan kerajaan dalam proses mengkaji untuk menubuhkan SEGiM kelak," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!