Gabungan kesatuan, persatuan sekerja sokong penuh RUU Pekerja Gig 2025

Lebih 1.42 juta pekerja yang bernaung di bawah 487 kesatuan, persatuan dan NGO di seluruh negara menyatakan sokongan penuh terhadap RUU Pekerja Gig 2025. Gambar hiasan
Lebih 1.42 juta pekerja yang bernaung di bawah 487 kesatuan, persatuan dan NGO di seluruh negara menyatakan sokongan penuh terhadap RUU Pekerja Gig 2025. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Lebih 1.42 juta pekerja yang bernaung di bawah 487 kesatuan, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) di Dewan Rakyat.

RUU bersejarah itu dilihat sebagai lembaran baharu dalam perundangan buruh negara kerana buat pertama kali lebih 1.2 juta pekerja gig akan diiktiraf secara rasmi dalam undang-undang.

Antara gabungan yang menyuarakan komitmen padu ialah Gabungan e-Hailing Malaysia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia–UNIMLC, Cuepacs, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) serta Malaysian Sign Language Interpreters & Translators National Organisation.

Menurut kenyataan bersama itu, RUU berkenaan menekankan empat fokus utama iaitu definisi rasmi pekerja gig bagi menghapuskan kekaburan status pekerjaan dan jaminan pendapatan serta kadar bayaran adil melalui mekanisme perundingan.

Selain itu, dua fokus lain adalah tribunal penyelesaian pertikaian untuk melindungi daripada eksploitasi dan perlindungan sosial mandatori bagi memperkukuh jaringan keselamatan pekerja dan keluarga mereka.

Kenyataan itu turut merakamkan penghargaan kepada Kesuma atas usaha menyeluruh melalui 37 sesi libat urus melibatkan pekerja gig, penyedia platform, kesatuan sekerja, agensi kerajaan serta kerajaan negeri.

"Dengan penggubalan RUU ini, Malaysia bakal menjadi antara 15 negara terawal di dunia memberikan definisi jelas kepada pekerja gig.

"Ia bukan sahaja mengangkat kedudukan pekerja di dalam negara, malah meningkatkan imej Malaysia sebagai negara progresif di persada antarabangsa," jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, mereka menyeru semua ahli Parlimen tanpa mengira parti memberikan sokongan penuh bagi memastikan suara pekerja gig terus didengar dan hak mereka dilindungi melalui undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!