Pelajar Tingkatan Tiga kritikal, keluarga khuatir jadi mangsa buli

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Bapa saudara mangsa Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata, anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Menurutnya, keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
“Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli," katanya kepada Sinar Harian.
Susulan itu, Muhammad Aidi berkata, pihak keluarga telah membuat laporan polis pada jam 5 pagi Selasa di Balai Polis Sabak Bernam.
Tambahnya, pihak keluarga juga dimaklumkan lima pelajar telah ditahan polis untuk membantu siasatan, namun setakat ini masing-masing enggan memberikan keterangan.
Dalam masa sama, pihak keluarga turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.
“Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi.
“Warden kata Irfan jatuh dari tingkat tiga selepas makan mi segera. Tapi dalam laporan perubatan, dalam perutnya langsung tiada sisa makanan,” jelasnya.
Ditanya sama ada Ahmad Irfan pernah mengadu mengenai perkara tersebut, Muhammad Aidil memaklumkan anak saudaranya itu sentiasa ceria malah aktif di sekolah.
“Sebelum ini dia tidak pernah tunjuk ada sebarang masalah dengan rakan-rakan. Ahmad Irfan memang aktif, dia ada jawatan dalam biro agama asrama,” ujarnya.
Ahmad Irfan kini dilaporkan ditidurkan di hospital dan masih dalam pemantauan rapi pihak perubatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

