Anak dalam keadaan kritikal, ibu mohon doa

SUNGAI BULOH - “Doakan yang terbaik untuk anak saya.”
Itulah luahan penuh harapan Siti Muhaini Mohammad Mansor, 43, ibu kepada seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang kini berada dalam keadaan kritikal selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah.
Mangsa, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, kini sedang dirawat di hospital dan berada di bawah pemantauan rapi pakar perubatan.
Menurut Siti Muhaini, keluarganya amat memerlukan doa orang ramai ketika anaknya sedang melalui detik genting ini.
“Anak saya masih dalam pemantauan doktor, keadaan dia kritikal.
“Sekarang saya tidak mampu berkata-kata tetapi harapan kami biarlah dia selamat,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau turut memaklumkan bahawa kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keadaan Ahmad Irfan yang kritikal dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

