Buli: Enam pelajar Tingkatan Empat dibebaskan dengan jaminan polis

PASIR MAS - Enam pelajar lelaki Tingkatan Empat yang sebelum ini ditahan reman berhubung kes buli seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, tindakan itu diambil sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan.
“Sepanjang tempoh siasatan, kesemua mereka memberikan kerjasama yang baik," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut beliau, kesemua mereka akan dibebaskan selepas selesai menjalani kawad cam sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
Sinar Harian pada 20 Ogos lalu melaporkan enam pelajar lelaki Tingkatan Empat direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes buli yang membabitkan seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah menengah di sini.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari ketika mangsa berada di kawasan sekolah terbabit.
Pengadu mendakwa ditumbuk serta disiku di bahagian kepala selain ditendang di bahagian punggung oleh sekumpulan pelajar yang dikenal pasti berusia 16 tahun.
Seorang daripada suspek turut bertindak melondehkan seluar sukan dipakai mangsa hingga ke paras lutut.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami sakit kepala serta trauma untuk ke sekolah kerana sering diganggu oleh kumpulan sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

