Kanak-kanak enam tahun ditemukan rentung dalam kebakaran

KENINGAU – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun rentung dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Patau, Tambunan, di sini, awal pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mayat kanak-kanak perempuan berkenaan ditemukan di bahagian bilik, manakala seorang lagi mangsa dilaporkan cedera ketika cuba menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.08 pagi.
Menurutnya, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 16 kilometer dari BBP Tambunan.

“Dalam kejadian itu, kebakaran melibatkan dua buah rumah dan tiga kenderaan. Selain itu, terdapat dua mangsa terlibat iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui rentung di dalam sebuah bilik sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan semasa menyelamatkan diri daripada kebakaran dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, operasi pemadaman kebakaran dilakukan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan pili bomba.
“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 7 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya.
Ringkasan AI
- Kanak-kanak enam tahun rentung dalam kebakaran di Kampung Patau, Tambunan
- Mayat kanak-kanak perempuan ditemukan di bilik, mangsa kedua cedera
- BBP Tambunan terima panggilan kecemasan jam 4.08 pagi
- Kebakaran melibatkan dua rumah dan tiga kenderaan
- Operasi pemadaman berakhir pada jam 7 pagi, menggunakan sumber air dari jentera bomba
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
