Kanak-kanak bersama ibu dan nenek maut kemalangan babit Myvi, Hilux

Keadaan Perodua Myvi dinaiki tiga sekeluarga yang maut bertembung sebuah pacuan empat roda di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang di sini pada malam Isnin.
Keadaan Perodua Myvi dinaiki tiga sekeluarga yang maut bertembung sebuah pacuan empat roda di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang di sini pada malam Isnin.
A
A
A

BATU GAJAH – Seorang kanak-kanak bersama ibu dan neneknya maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang di sini pada malam Isnin.

Dalam kejadian itu, mangsa S Sarala Devi, 34 dan G Sarasbathy, 65, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit di dalam sebuah Perodua Myvi manakala S Shaastikka, 3, difahamkan meninggal dunia di Hospital Batu Gajah.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.45 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah tiba empat minit kemudian.

Menurutnya, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah Toyota Hilux.

"Kedua-dua mangsa wanita tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan Perodua Myvi.

"Ketua operasi melakukan penilaian awal dan mengaplikasikan konsep SAVER sebelum mengarahkan anggota menjalankan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan khas hidraulik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sabarodzi berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) manakala kanak-kanak terbabit dibawa ke hospital oleh kenderaan lain sebelum jentera tiba.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi menyelamat melibatkan enam anggota bomba dengan bantuan 15 anggota polis dan empat petugas KKM menggunakan sebuah jentera FRT sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.10 malam.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang kanak-kanak bersama ibu dan neneknya maut dalam kemalangan di Kampung Batu 1, Jalan Tanjung Tualang
  • Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah Toyota Hilux
  • Mangsa S Sarala Devi dan G Sarasbathy meninggal di lokasi kejadian manakala S Shaastikka meninggal di Hospital Batu Gajah
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak tiba di tempat kejadian dalam tempoh empat minit selepas menerima panggilan kecemasan
  • Operasi menyelamat melibatkan 6 anggota bomba, 15 anggota polis dan 4 petugas KKM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!