Rasuah RM3 juta, keputusan Isa kekal bebas atau dijel enam tahun hari ini

Keputusan sama ada Mohd Isa kekal dilepas dan dibebaskan atau diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun akan diputuskan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa.
Keputusan sama ada Mohd Isa kekal dilepas dan dibebaskan atau diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun akan diputuskan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA – Keputusan sama ada bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kekal dilepas dan dibebaskan atau diperintah menjalani hukuman penjara selama enam tahun, atas sembilan kes rasuah lebih RM3 juta berhubung pembelian Merdeka Palace Hotel Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak akan diputuskan Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa.

Panel tiga hakim dipengerusi Datuk Nordin Hassan yang bersidang bersama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali membuat keputusan bagi permohonan rayuan pendakwaan terhadap kes yang dihadapi bekas veteran UMNO itu selaku responden.

Pihak pendakwaan merayu kepada mahkamah supaya panel hakim mengetepikan keputusan pembebasan Mohd Isa oleh Mahkamah Rayuan dengan mengembalikan semula sabitan bersalah dan hukuman penjara serta denda RM15.45 juta yang dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kepada bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berusia 77 tahun itu.

Sekiranya mahkamah menolak rayuan pihak pendakwaan, bekas Naib Presiden UMNO itu akan dibebaskan sepenuhnya.

Bagaimanapun jika panel mahkamah tertinggi negara menerima rayuan pendakwaan, Mohd Isa diperintah ke tirai besi serta-merta.

Semasa hujahan 5 Februari lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz selaku perayu berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang tepat dalam mensabitkan responden terhadap kesalahan berkenaan.

Beliau berkata, semasa perbicaraan, ada keterangan menunjukkan bekas Ahli Parlimen Jempol itu menerima RM3.09 juta dalam bentuk suapan daripada bekas Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Muhammad Zahid Md Arip.

Menurutnya, suapan itu merupakan ganjaran atas peranannya memudahkan kelulusan Felda Investment Corporation Sdn Bhd bagi pembelian hotel terbabit.

Beliau berkata, hanya tiga individu yang tahu mengenai kejadian meminta dan menerima rasuah tersebut iaitu Muhammad Zahid yang juga saksi pendakwaan (SP) ke-21, Ikhwan (SP16) dan Mohd Isa sendiri.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, peguam, M Athimulan yang mewakili bekas ahli politik itu berhujah, Mahkamah Rayuan membuat keputusan yang tepat kerana membebaskan anak guamnya daripada semua pertuduhan berkenaan.

Beliau berkata, panel hakim tidak melakukan kekhilafan yang mewajarkan Mahkamah Persekutuan untuk campur tangan dan mengubah keputusan tersebut.

Katanya, rayuan pendakwaan tidak bermerit dan keputusan Mahkamah Rayuan wajar dikekalkan.

Beliau yang hadir bersama seorang lagi peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat berkata, panel telah meneliti fakta berkaitan penerimaan wang sebagai tidak kukuh.

Pada 3 Februari 2021, Mohd Isa dihukum penjara 54 tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas semua pertuduhan.

Bagaimanapun, semua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan berkuat kuasa selama enam tahun.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Pada 6 Mac 2024, bekas Menteri Besar itu dilepas dan dibebaskan selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mengetepikan sabitan serta hukuman berkenaan.

Panel yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, kini Hakim Mahkamah Persekutuan bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Mohd Isa.

Susulan keputusan berkenaan, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan pada 7 Mac 2024 dan petisyen rayuan pada 26 Jun tahun sama dengan mengemukakan 24 alasan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pendakwaan merayu agar Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang mendapati Mohd Isa bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara enam tahun, denda RM15.45 juta serta penjara 18 tahun sekiranya gagal membayar denda.

Petisyen itu antara lain menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila membatalkan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa Mohd Isa mengarahkan bekas pegawai khas politiknya, Muhammad Zahid Md Arip untuk meminta rasuah daripada seorang Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), Ikhwan Zaidel.

Pihak pendakwaan menyatakan, mereka telah mengemukakan bukti bahawa selepas dua pertemuan, Mohd Isa secara tidak langsung mengarahkan Muhammad Zahid untuk meminta rasuah daripada Ikhwan.

Muhammad Zahid kemudian bertindak mengikut arahan berkenaan dengan menyerahkan wang rasuah itu secara berperingkat kepada Mohd Isa.

Pendakwaan turut menyatakan Mahkamah Rayuan terkhilaf daripada segi undang-undang apabila mendapati wujud bukti daripada Ikhwan yang menunjukkan Mohd Isa tidak pernah meminta habuan daripada beliau dalam dua pertemuan di pejabatnya.

Mohd Isa didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah GAPSB ketika itu, Ikhwan Zaidel sebagai balasan meluluskan pembelian MPHS oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Ringkasan AI

  • Keputusan Mahkamah Persekutuan bagi kes Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad atas sembilan kes rasuah lebih RM3 juta akan diputuskan
  • Pendakwaan merayu pengembalian sabitan bersalah dan hukuman penjara serta denda RM15.45 juta kepada Mohd Isa
  • Jika rayuan pendakwaan diterima, Mohd Isa akan menjalani hukuman penjara
  • Mohd Isa didapati bersalah menerima suapan RM3.09 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel Suites
  • Panel hakim Mahkamah Rayuan sebelumnya membebaskan Mohd Isa daripada semua pertuduhan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!