RUU Pekerja Gig 2025 bukti kerajaan proaktif bela hak pekerja gig - Steven Sim

Steven Sim
Steven Sim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 di Dewan Rakyat membuktikan kerajaan proaktif dalam membela suara dan hak pekerja sektor gig di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, ia menjadi detik penting untuk mengiktiraf lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara melalui ekosistem ekonomi gig lebih adil, progresif dan inklusif.

Menurutnya, langkah itu menyaksikan Malaysia bakal menyertai 15 negara terawal di dunia yang memberikan definisi jelas kepada pekerja gig.

"RUU Pekerja Gig 2025 adalah undang-undang baharu dan yang pertama diwujudkan bagi menjaga kebajikan pekerja sektor gig di negara ini.

"RUU ini melalui pelbagai sesi libat urus merentas kementerian dan kerajaan negeri khususnya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

"Malah kita juga melalui hampir 40 sesi libat urus dengan pemegang taruh, syarikat platform, wakil pekerja, wakil majikan, persatuan pekerja gig, NGO (badan bukan kerajaan), ahli akademik dan sebagainya," katanya dalam sidang akhbar mengenai RUU Pekerja Gig 2025 di Parlimen pada Isnin.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, KESUMA telah menganjurkan 37 sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh antaranya 14 sesi bersama kementerian, agensi serta kerajaan Sabah dan Sarawak.

Selain itu, 13 sesi bersama pekerja gig, penyedia platform dan bukan platform dan tujuh sesi bersama pemegang taruh serta pemain industri di enam zon utama iaitu di utara, tengah, selatan, pantai timur, Sabah dan Sarawak sejak 22 Oktober sehingga 7 Ogos lalu.

Beliau menjelaskan, lebih 4,000 orang pemegang taruh menyertai sesi libat urus untuk menghasilkan RUU berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kementerian turut menerima lebih 500 maklum balas secara dalam talian dengan kesemuanya diambil kira dalam proses penggubalan RUU berkenaan.

Mengulas lanjut, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, RUU terbabit merangkumi 10 bahagian dengan 112 fasal dengan tumpuan kepada empat teras utama iaitu definisi pekerja gig, pendapatan atau kadar bayaran, mekanisme penyelesaian pertikaian dan perlindungan sosial.

"Melalui RUU ini, adanya mekanisme kilanan (tidak puas hati) di mana kalau berlaku pertikaian, kita ada proses formal (untuk menyelesaikannya).

"Begitu juga isu mengenai bayaran, ia antara aduan utama pekerja gig ini. Mereka (sebelum ini) tidak ada apa-apa hak dalam penentuan isu kadar bayaran.

"Dengan adanya RUU ini, pekerja dan majikan sama-sama akan ada hak menentukan hala tuju mengenai bayaran, malah dilindungi dari segi keselamatan sosial melalui jaminan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," ujarnya.

Sehubungan itu beliau berharap semua pihak dapat menerima baik RUU bersejarah itu dalam usaha kerajaan untuk membela nasib pekerja gig di negara ini dan demi menjaga kebajikan ahli keluarga mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!