Majlis Peguam sedia bekerjasama perhalusi RUU Pekerja Gig 2025

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM – Majlis Peguam Malaysia bersedia bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dan pihak industri bagi memperhalusi Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dengan matlamat menjaga kebajikan pekerja di samping memacu inovasi serta pertumbuhan dalam sektor gig.

Majlis Peguam dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menyokong usaha-usaha untuk memastikan perlindungan yang adil dan seimbang kepada semua pihak berkepentingan dalam ekonomi gig.

“Kami menyambut baik RUU Pekerja Gig 2025 sebagai satu langkah penting ke arah menyediakan rangka kerja undang-undang yang jelas bagi ekonomi gig yang kian berkembang.

“Pengenalan takrifan berkanun untuk pekerja gig bersama dengan mekanisme penyelesaian pertikaian, perlindungan pendapatan serta caruman keselamatan sosial merupakan kemajuan dalam menangani jurang peraturan yang telah lama wujud dalam sektor ini,” katanya pada Isnin.

Sebelum ini, RUU Pekerja Gig 2025 yang bertujuan memberi perlindungan dan mengiktiraf peranan pekerja sektor berkenaan telah dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim ketika membentangkan RUU berkenaan berkata, bacaan kali kedua dan ketiga akan dibuat pada persidangan kali ini juga.

Pembentangan itu menandakan titik bersejarah dalam usaha negara mengiktiraf peranan penting pekerja gig dalam undang-undang perburuhan negara di samping memastikan hak serta kebajikan mereka dilindungi secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!