Kebocoran maklumat sindiket penyeludupan hanya di peringkat taktikal - Panglima Angkatan Tentera

Laporan Sinar Harian pada 13 Ogos lalu.
Laporan Sinar Harian pada 13 Ogos lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati kebocoran yang berlaku berikutan lumpuhnya sindiket penyeludupan di selatan tanah air membabitkan penahanan lima pegawai tentera hanya melibatkan maklumat di peringkat taktikal.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar berkata, ATM mengambil berat isu penahanan lima pegawai kanan tersebut kerana disyaki membocorkan maklumat ketenteraan negara.

Menurutnya, berikutan itu, Lembaga Siasatan Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) dibentuk ATM pada Selasa lalu bagi menyiasat tahap kebocoran maklumat terbabit.

"Siasatan mendapati, setakat ini, kebocoran berlaku membabitkan maklumat pada peringkat taktikal sahaja, bukannya operasi atau strategik.

"Kita juga sudah memberi taklimat perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Isnin lalu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, keselamatan negara tidak tergugat dan maklumat membabitkan operasi serta strategik ketenteraan negara masih terpelihara.

Jelasnya, ATM bertindak pantas menangani kes itu termasuk memindahkan semua pegawai terbabit ke cawangan lain, berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan kes itu selesai.

Katanya lagi, siasatan diserahkan dahulu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

"Kita mengambil serius isu ini dan mengambil langkah perlu untuk memastikan keselamatan negara terus terpelihara sepanjang masa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Op Sohor yang dijalankan SPRM pada 13 Ogos lalu berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai-pegawai kanan ATM.

Operasi dari Bahagian Perisikan dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) telah menahan lima pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten, selain lima orang awam berusia lingkungan 30-an hingga 50-an di sekitar Lembah Klang bermula jam 6.30 pagi.

Penahanan lima orang awam itu turut termasuk dua wartawan media dalam talian yang juga bekas tentera.

Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah, rokok dan barangan lain dari negara jiran yang melibatkan nilai kira-kira RM5 juta sebulan.

Hasil risikan yang dijalankan selama 12 bulan mendapati sindiket ini dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai-pegawai kanan tentera berkenaan setiap kali penyeludupan dilakukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!