SPRM reman dua penjawat awam bantu siasatan tuntutan palsu RM114,000

KANGAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman Pembantu Tadbir Kanan dan Penolong Pegawai Tadbir sebuah jabatan di Perlis bagi membantu siasatan kes berkaitan tuntutan palsu bagi kerja membekal serta menghantar diesel berjumlah RM114,000 pada 2023 dan 2024.
Sumber SPRM berkata, lelaki berusia 43 dan 37 tahun itu direman lima hari bermula hari ini selepas Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar Mohd Amiruldin Roslan membenarkan permohonan dibuat SPRM Perlis hari ini.
"Mereka ditahan kira-kira jam 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis,” katanya hari ini.
Sumber berkata, dua syarikat kontraktor dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja Membekal dan Menghantar Bahan Bakar Diesel di jabatan itu bagi tahun 2023 melibatkan 14,000 liter bahan api berjumlah lebih RM50,000 manakala bagi 2024 melibatkan 16,000 liter bernilai lebih RM60,000.
Beliau berkata, siasatan mempercayai dua penjawat awam terbabit telah menggunakan syarikat terlibat bagi tujuan tuntutan namun pembekalan masih belum disempurnakan.
"Dua suspek itu dipercayai terlibat dalam memperakukan penerimaan pada pesanan kerajaan bagi pembekalan tersebut bagi tujuan pembayaran,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - Bernama
Ringkasan AI
- SPRM menahan dua penjawat awam di Perlis untuk siasatan tuntutan palsu diesel RM114,000
- Dua individu tersebut, berusia 43 dan 37 tahun, direman lima hari oleh Mahkamah Tinggi Kangar
- Mereka ditahan setelah memberi keterangan di Pejabat SPRM Perlis
- Terlibat dalam tuntutan palsu bagi pembekalan diesel untuk tahun 2023 dan 2024
- Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
