2 wartawan ditahan SPRM bekas anggota ATM

SHAH ALAM - Dua wartawan agensi media dalam talian yang ditahan untuk siasatan melibatkan sindiket penyeludupan di selatan tanah air dipercayai pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-duanya memilih untuk bersara awal dan mula bekerja sebagai wartawan untuk sebuah syarikat media.
"Berdasarkan semakan awal kami, pekerjaan mereka sebagai wartawan hanyalah sebagai penyampai peranan sebenar mereka dalam sindiket itu," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sebelum itu, Op Sohor yang dijalankan SPRM pada Rabu berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai-pegawai kanan ATM.
Operasi dari Bahagian Perisikan dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) telah menahan lima pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten selain lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 50-an di sekitar Lembah Klang bermula jam 6.30 pagi.
Berikutan itu, kesemua tangkapan membabitkan lima pegawai kanan ATM, dua wartawan agensi media, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta wanita warga asing telah direman.
Empat suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos, dua lelaki dan seorang wanita direman selama lima hari sehingga 18 Ogos manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman selama tiga hari sehingga 16 Ogos.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.
Media tempatan melaporkan pegawai-pegawai kanan perisikan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan.
Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah serta rokok dan barang-barang lain dari negara-negara jiran yang melibatkan nilai barangan seludup kira-kira RM5 juta sebulan.
Hasil risikan yang dijalankan selama 12 bulan mendapati sindiket ini dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai-pegawai kanan tentera berkenaan setiap kali menyeludup masuk barangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
