Peniaga kantin, penyelia tapak didakwa angkut 16 migran

ALOR SETAR – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan mengangkut 16 migran yang diseludup menggunakan dua kenderaan berasingan di Plaza Tol Jitra arah Selatan, bulan lalu.
Tertuduh, K. Karupaya, yang merupakan seorang peniaga kantin, dan P. Thinagaran, 43, bekerja sebagai penyelia tapak, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.
Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan pertuduhan, Karupaya didakwa mengangkut 11 migran menggunakan kenderaan Hyundai Starex berwarna putih di Plaza Tol Jitra arah Selatan kira-kira jam 4 pagi pada 14 Januari lalu.
Thinagaran pula didakwa mengangkut lima migran menggunakan Perodua Aruz berwarna kelabu di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Nasruna Anhar Nordien, mengendalikan prosiding, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 13 April depan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Ringkasan AI
- Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan mengangkut 16 migran yang diseludup
- Tertuduh adalah K Karupaya, peniaga kantin, dan P Thinagaran, penyelia tapak
- Kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi
- Karupaya didakwa mengangkut 11 migran dan Thinagaran didakwa mengangkut lima migran menggunakan kenderaan berasingan
- Kedua tertuduh didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun dan/atau denda maksimum RM250,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

