Pegawai kanan ATM, wartawan direman kes sindiket penyeludupan

Sepuluh individu direman untuk siasatan kes sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air. Foto SPRM
Sepuluh individu direman untuk siasatan kes sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air. Foto SPRM
A
A
A

PUTRAJAYA – Lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan agensi media dalam talian antara 10 individu yang direman bagi membantu siasatan kes sindiket penyeludupan yang beroperasi di selatan tanah air.

Individu lain yang direman membabitkan seorang pengurus syarikat, seorang pembantu pentadbiran di Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta seorang wanita warga asing.

Empat suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 20 Ogos, dua lelaki dan seorang wanita direman selama lima hari sehingga 18 Ogos, manakala dua lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman selama tiga hari sehingga 16 Ogos.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis untuk mendapatkan perintah reman. Foto SPRM
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis untuk mendapatkan perintah reman. Foto SPRM

Menurut sumber, lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 hingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang menerusi Op Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Rabu.

“Pegawai-pegawai kanan perisikan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit dikenakan tindakan.

“Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini terdiri daripada dadah, rokok, dan barangan lain dari negara jiran dengan nilai kira-kira RM5 juta sebulan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sumber itu berkata, hasil risikan selama 12 bulan mendapati sindiket berkenaan dipercayai membayar rasuah antara RM30,000 hingga RM50,000 kepada pegawai kanan tentera setiap kali aktiviti penyeludupan dijalankan.

Tambahnya, rangkaian penglibatan pegawai kanan tentera terbabit dalam sindiket tersebut adalah besar dan kompleks.

Katanya, dalam operasi itu, SPRM turut menemui wang tunai lebih RM63,000, beberapa bungkusan dipercayai berisi dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras, serta senjata api tiruan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat berkaitan jenayah rasuah dan aktiviti penggubahan wang haram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!