Sindiket penyeludupan lumpuh kerana maklumat TMJ - Azam Baki

Azam ditemui pemberita selepas majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KOMAWAR) Edisi Kelima di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada Sabtu.
Azam ditemui pemberita selepas majlis Penutupan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KOMAWAR) Edisi Kelima di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) pada Sabtu.
A
A
A

CYBERJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kejayaan melumpuhkan sindiket penyeludupan di selatan tanah air turut mendapat saluran maklumat daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Tunku Ismail amat komited dan mahu isu penyeludupan dibanteras.

“Tunku Ismail dalam hal ini amat bekerjasama dan mahu perkara ini dibanteras.

“Banyak juga maklumat-maklumat yang kami peroleh daripada ‘networking’ Tunku Mahkota Johor,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Penutupan Konvensyen Mahasiswa Anti Rasuah (KOMAWAR) Edisi Kelima di Universiti Multimedia Malaysia (MMU) di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dua wartawan media dalam talian yang juga bekas pegawai ATM untuk siasatan membabitkan sindiket berkenaan.

Menurut Azam, SPRM telah bekerjasama rapat dengan pihak ATM, selain akan meneliti undang-undang berkaitan jenayah rasuah dan pengubahan wang haram.

“Kita akan memberikan maklumat siasatan kes ini kepada pihak Kementerian Pertahanan (Mindef),” ujarnya.

Tambah beliau, pegawai yang menjalankan kerja perisikan daripada pelbagai sumber dan menggunakan sistem yang ada sepatutnya menyalurkan maklumat kepada ATM dan pihak berkuasa lain untuk tindakan, namun mereka membocorkannya.

“Hasil pembocoran maklumat ini mereka dibayar rasuah oleh pihak penyeludupan. Wang yang diperoleh ada disimpan dalam bentuk tunai dan kita sedang meneliti di mana wang-wang lain disimpan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, dipercayai wartawan terbabit memainkan peranan sebagai ‘enabler’ (pemudah cara) dalam membocorkan maklumat kepada penjenayah penyeludupan.

“Saya jangka kegiatan ini telah berlaku dalam empat ke lima tahun lepas,” ujarnya.

Mengenai tangkapan lain, Azam berkata, setakat ini jumlah tangkapan masih kekal 10 orang.

“Kita turut menyiasat berkaitan jenayah pengubahan wang haram dan berkemungkinan akan ada pihak lain yang mendapat faedah daripada kegiatan ini. Jika ada, kita akan jalankan siasatan lanjut,” ujarnya.

Sebelum itu, Op Sohor yang dijalankan SPRM pada Rabu lalu berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai-pegawai kanan ATM.

Operasi oleh Bahagian Perisikan dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS) telah menahan lima pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel dan Kapten, selain lima orang awam berusia lingkungan 30 hingga 50-an di sekitar Lembah Klang bermula jam 6.30 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!