[VIDEO] Jalur Gemilang terbalik: Pemilik kedai perkakasan sedia terima hukuman
KEPALA BATAS - Pemilik kedai perkakasan yang tular kerana perbuatan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di sini, akur dan bersedia menghadapi sebarang tindakan yang akan dikenakan terhadapnya.
Bagaimanapun Pang Chin Tian, 59, menegaskan perbuatannya pada pagi Sabtu lalu tidak disengajakan dan dia sama sekali tidak berniat memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
Menurutnya, setiap tahun beliau akan memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang di hadapan premis perniagaannya sebagai tanda kecintaan kepada negara.
“Saya sudah 11 tahun berniaga di sini dan setiap kali sambutan bulan kemerdekaan, kami tidak lupa memasang Jalur Gemilang.
“Cuma tahun ini berlaku kesilapan yang tidak disengajakan. Selepas sedar bendera itu dipasang terbalik, saya turunkan dan membetulkannya sebelum dipasang semula di luar kedai.
“Sekarang biarlah polis siasat. Apa sahaja keputusan, saya akan terima... sebab ada sedikit kesilapan, saya perlu tanggunglah,” katanya ketika ditemui pemberita di luar kedainya di Taman Bertam Permata, di sini, pada Selasa.

Terdahulu, beliau bersama Penolong Setiausaha DAP Pulau Pinang, H'ng Mooi Lye, dan Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng, menyaksikan pemasangan Jalur Gemilang gergasi yang ditaja oleh DAP di hadapan kedainya.
Bagaimanapun, kedai perkakasan itu dilaporkan ditutup sejak Sabtu lalu selepas tular video pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di media sosial.
Mengulas perkara itu, Chin Tian berkata, pihaknya mengambil keputusan menutup sementara operasi kedai sehingga keadaan reda.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan DAP akan menaja Jalur Gemilang gergasi dan memasangnya petang ini di hadapan kedai terbabit untuk tontonan umum, sebagai menunjukkan ia telah dipasang dengan betul.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, berkata sekiranya terdapat pihak yang cuba mengganggu ketenteraman di kawasan kedai yang didakwa memasang bendera secara terbalik itu, ahli DAP Pulau Pinang akan menyambut kedatangan mereka dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang secara percuma sebagai tanda semangat perpaduan sempena Hari Kemerdekaan.
Menurut Anthony, pihaknya mengecam keras tindakan golongan yang cuba memberikan tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa pemilik kedai hanya kerana tersilap memasang Jalur Gemilang di hadapan premisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

