Pelajar UUM putus saraf tunjang tetap bersemangat habiskan pengajian

ALOR SETAR – Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan saraf tunjangnya putus tetap menunjukkan semangat tinggi untuk meneruskan pengajian.
Pelajar semester lima Sarjana Muda Perakaunan, Nur Aleeya Kahairani Ahmad Shukri, 21, terlibat dalam kemalangan ketika menaiki motosikal bersama rakannya di kawasan Changlun kira-kira jam 9 malam ketika dalam perjalanan pulang ke kampus pada 31 Januari lalu.
Ibunya, Rozita Samingon, 52, berkata, keadaan anak bongsu daripada lima beradik itu semakin memberangsangkan selepas menjalani pembedahan menebuk leher.
Menurutnya, walaupun belum dapat mengeluarkan suara, anaknya masih mampu berkomunikasi dan berada dalam keadaan sedar.
“Dia beritahu mahu sambung belajar dan tidak mahu menangguhkan pengajian kerana hanya berbaki dua semester lagi.
“Semangatnya kuat dan kami sekeluarga sentiasa memberi sokongan, namun proses pemulihan ini masih panjang.
"Kami berterima kasih atas sokongan semua pihak kepada anak kami, ” katanya semasa ditemui di Lobi Utama Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Rabu.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hadir bersama pengurusan utama UUM menziarahi Nur Aleeya Kahairani yang berasal dari Pendang.
Dalam lawatan itu, Zambry turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 daripada pihak UUM bagi membantu meringankan beban keluarga pelajar terbabit.

Beliau semasa ditemui berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama pihak universiti akan memastikan kebajikan serta rawatan pelajar tersebut diberi perhatian sepenuhnya.
Menurutnya, berdasarkan laporan perubatan, keadaan pelajar itu kini stabil dan akan terus dipantau dari semasa ke semasa.
“Saya berkesempatan melawat pelajar UUM yang terlibat dalam kemalangan dan beliau merupakan seorang pelajar yang pintar dalam bidang perakaunan.
“Kita telah berbincang dengan pihak hospital dan akan melihat perkembangan rawatannya. Kita doakan agar beliau segera diberikan kesembuhan,” ujarnya.
Selain itu, dalam lawatan sama, Zambry turut menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada seorang kakitangan lelaki UUM yang menghidap kanser barah otak di hospital tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

