Isu Jalur Gemilang terbalik: Akmal beri tempoh dua hari dakwa individu terlibat

SHAH ALAM – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh mendesak pihak pendakwa raya mengambil tindakan segera terhadap individu yang dikaitkan dengan kes Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah premis di Pulau Pinang.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook pada Isnin, beliau berkata, pihaknya memberikan tempoh dua hari bermula Selasa hingga Rabu untuk pendakwaan dilakukan selepas polis memaklumkan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwa raya pada Isnin.
“Kami mendesak pihak pendakwa raya untuk mendakwa individu ini atas kesalahan yang telah dilakukan. Kita beri dua hari, iaitu Selasa dan Rabu untuk pendakwaan dibuat.
“Jika tiada sebarang tindakan hingga Rabu, Insya-ALLAH pada Khamis kami akan akan turun beramai-ramai mengadakan ‘kelas’ bagi mengajar individu ini cara memasang bendera dengan betul,” katanya.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menghormati proses undang-undang dengan tidak turun ke lokasi pada Isnin bagi memberi ruang supaya siasatan dan pendakwaan dapat dilaksanakan.
“Kami hormat undang-undang tetapi jika dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan, kita tunggu apa langkah pendakwa raya pula,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan supaya individu terlibat didakwa mengikut seksyen yang lebih berat bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan terhadap perbuatan yang disifatkannya sebagai mencemarkan maruah negara.
Terdahulu individu berkenaan dilaporkan telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwa raya.
Ketua Polis Pulau Pinang pada Ahad memaklumkan siasatan kes berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

