Kertas siasatan Jalur Gemilang terbalik dirujuk ke Putrajaya untuk arahan lanjut

Anuar
Anuar
A
A
A

GEORGE TOWN – Kertas siasatan berhubung insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik akan dirujuk ke Putrajaya bagi mendapatkan arahan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata, kertas siasatan berhubung insiden itu telah dibawa kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Pulau Pinang pada jam 2.30 petang, Isnin, sebelum diarahkan untuk ditinggalkan bagi tujuan semakan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada TPR Pulau Pinang pada petang ini. Arahan TPR adalah agar kertas siasatan ditinggalkan untuk semakan.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke Putrajaya untuk mendapat arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, pemilik kedai perkakasan di Jalan Bertam Perdana yang ditahan bagi membantu siasatan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di hadapan premisnya telah dibebaskan dengan jaminan polis.

Lelaki berusia 59 tahun itu ditahan di sekitar Kepala Batas pada malam Sabtu lalu.

Menurut Anuar, tangkapan melibatkan seorang individu sahaja dan semua keterangan serta syarat berkaitan telah selesai diambil.

Katanya, lelaki berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis pada jam 3 petang, Ahad.

Seramai 10 individu telah diambil keterangan untuk siasatan dan polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung insiden berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 21 saat memaparkan tindakan dua lelaki di sebuah kedai perkakasan di Bertam, Kepala Batas, yang didakwa sengaja memasang dan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik hingga mendapat kecaman warganet.

Berikutan itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, membuat laporan polis.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!