Insiden bendera terbalik: DAP pasang Jalur Gemilang gergasi depan kedai petang ini

SHAH ALAM - DAP akan menaja Jalur Gemilang gergasi dan memasangnya petang ini di hadapan sebuah kedai di Pulau Pinang untuk tontonan umum, sebagai menunjukkan ia telah dipasang dengan betul.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, sekiranya terdapat pihak yang cuba mengganggu ketenteraman di kawasan kedai yang didakwa memasang bendera secara terbalik itu, ahli DAP Pulau Pinang akan menyambut kedatangan mereka dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang percuma sebagai tanda semangat perpaduan sempena Hari Kemerdekaan.
Menurut Anthony, pihaknya mengecam keras tindakan golongan yang cuba memberikan tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa pemilik kedai hanya kerana tersilap memasang Jalur Gemilang di hadapan premisnya.
“Ini mencampuri urusan dan cubaan untuk mempengaruhi keputusan pendakwaan tanpa pertimbangan sewajarnya. Pihak Peguam Negara perlu diberi ruang bebas dalam membuat sebarang keputusan tanpa sebarang tekanan politik.
“Pihak tersebut mengugut mahu mengadakan protes di depan kedai terbabit sekiranya tiada pendakwaan dalam masa terdekat. Ini adalah buli secara terang-terangan yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Bukan sahaja buli di sekolah perlu ditentang, buli terhadap warga emas juga mesti dibantah sekeras-kerasnya. Namun, kita perlu menunjukkan kewarasan berfikir yang lebih tinggi dan menggunakan cara beradab untuk menangani pihak yang kurang matang seperti ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan video berdurasi 21 saat tular memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.
Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengajak orang ramai bersama-sama ‘mengajar’ dua pelaku di Bertam, Pulau Pinang, cara yang betul memasang Jalur Gemilang.
Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub turut mempersoalkan tindakan DAP yang seolah-olah membela individu terlibat dalam insiden berkenaan.
Polis kemudiannya menahan pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun itu di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Anthony sebelum ini mengingatkan supaya tiada pihak yang ‘menangguk di air keruh’ dengan mengambil kesempatan terhadap insiden tersebut kerana perbuatan sebegitu menyerupai pembuli dan jelas ditolak oleh rakyat negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

