Kadar zakat fitrah di Perlis ditetapkan RM9

KANGAR - Kadar zakat fitrah bagi Perlis untuk tahun ini ditetapkan kekal satu kadar sahaja, iaitu RM9 bagi setiap individu, jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya.
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memaklumkan, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan melancarkan penetapan kadar zakat fitrah itu di Istana Siraj Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang Dipertua MAIPs.
Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Menurut MAIPs, penetapan kadar itu diputuskan setelah mengambil kira harga pasaran semasa bagi beras yang lazimnya menjadi makanan asasi (Ghalib Qut Al-Balad) penduduk di Perlis, selaras tuntutan syarak menetapkan kadar satu gantang Nabawi bagi setiap individu.
"Selain itu, bagi umat Islam yang menunaikan zakat dengan beras, maka kadar zakat fitrah ditetapkan satu gantang Nabawi seorang, iaitu bersamaan 2.6 kilogram," menurut MAIPs dalam satu kenyataan pada Rabu.
MAIPs berkata, pembayaran boleh dilakukan melalui amil yang dilantik secara rasmi oleh MAIPs atau menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian melalui portal rasmi MAIPs, iaitu www.maips.gov.my atau menerusi digital.maips.gov.my. - Bernama
Ringkasan AI
- Kadar zakat fitrah bagi Perlis kekal RM9 bagi setiap individu
- Kadar zakat fitrah dengan beras ditetapkan satu gantang Nabawi bersamaan 2.6 kilogram
- Pembayaran boleh dilakukan melalui amil yang dilantik atau secara dalam talian di portal rasmi MAIPs
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
