Isu Jalur Gemilang terbalik: Ugutan hanya bawa perpecahan kepada rakyat- Ka Siong

KUALA LUMPUR – Tindakan memberi tempoh dan mengeluarkan ugutan tidak sewajarnya dilakukan oleh mana-mana pemimpin politik kerana penguatkuasaan undang-undang adalah tugas pihak berkuasa.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, isu menghormati Jalur Gemilang tidak boleh dijadikan bahan ugutan politik kerana penguatkuasaan harus berpaksikan kepada kedaulatan undang-undang, bukannya ultimatum peribadi.
“Kita tidak menguruskan negara ini hanya bersandarkan kepada telunjuk orang politik kerana ugutan seperti ini hanya akan menambah perpecahan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh yang mahu ‘mengajar’ pemilik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang cara memasang Jalur Gemilang dengan betul sekiranya tiada pendakwaan dikenakan terhadap individu itu.
Ka Siong bimbang kenyataan sebegitu boleh melemahkan semangat patriotik rakyat, terutama ketika negara menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan.
“Di saat masyarakat digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga, ada pula yang mungkin takut mengambil risiko kerana jika berlaku kesilapan, mereka diancam atau dijadikan mangsa orang politik,” ujarnya.
Tegas beliau, pemimpin seharusnya membangkitkan semangat patriotisme melalui pendidikan, teladan dan tindakan yang wajar, bukannya bertindak seperti penguat kuasa lantikan sendiri.
“Mengubah kesilapan menjadi isu politik hanya memecahbelahkan rakyat dan mengalihkan tumpuan sebenar untuk bersama-sama membangunkan negara.
“Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugas mereka, manakala kita tidak mempolitikkannya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

