Audit keselamatan KPM langkah tepat, wajar dipuji

Tindakan berani KPM ini wajar dijadikan titik tolak kepada perubahan budaya sekolah yang lebih selamat.
Tindakan berani KPM ini wajar dijadikan titik tolak kepada perubahan budaya sekolah yang lebih selamat.
A
A
A

SEBAGAI sebuah institusi yang memikul amanah mendidik generasi masa depan, keselamatan sekolah adalah asas yang tidak boleh dikompromi.

Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan audit keselamatan di semua institusi pendidikan dalam tempoh tiga bulan adalah langkah tepat dan wajar dipuji.

Langkah ini bukan sekadar memenuhi prosedur pentadbiran, tetapi membuktikan kesungguhan KPM memastikan persekitaran sekolah sentiasa selamat untuk murid, guru dan seluruh warganya.

Tumpuan audit terhadap pematuhan SOP keselamatan akan membantu mengenal pasti kelemahan yang wujud, sekali gus membolehkan penambahbaikan dibuat secara menyeluruh.

KPM juga mengambil pendekatan holistik dengan mereformasi sistem aduan buli, termasuk memudahkan akses kepada portal Aduan Buli serta memberi pilihan aduan secara anonim. Ini penting bagi melindungi pengadu dan saksi daripada sebarang tekanan atau ancaman.

Penubuhan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan yang melibatkan pakar pelbagai bidang, NGO, pihak polis serta Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta (PIBKS) adalah langkah strategik. Dengan kerjasama pelbagai pihak, usaha pencegahan dan intervensi akan menjadi lebih berkesan.

Tegasnya, KPM tidak akan berkompromi terhadap pelaku buli. Hukuman gantung atau buang sekolah yang diumumkan adalah mesej jelas bahawa salah laku ini tidak boleh diterima.

Pada masa yang sama, program intervensi ‘Bangkit Bermaruah’ bagi murid yang digantung sekolah menunjukkan keseimbangan antara ketegasan dan peluang pemulihan sahsiah.

Penting juga diingat, tanggungjawab menangani buli tidak terletak di bahu KPM semata-mata. Pentadbir, guru, ibu bapa dan komuniti perlu berganding bahu memastikan setiap aduan diurus mengikut garis panduan.

Artikel Berkaitan:

Malah, guru bimbingan dan kaunseling mesti terus diperkasa sebagai benteng awal pencegahan.

Lebih daripada itu, audit keselamatan ini menjadi isyarat jelas bahawa isu buli bukan lagi boleh dipandang remeh. Ia mengangkat mesej bahawa keselamatan murid adalah prioriti nombor satu dan setiap pihak bermula daripada pentadbir sekolah hingga masyarakat setempat perlu memainkan peranan aktif, bukan sekadar menjadi pemerhati.

Tindakan berani KPM ini wajar dijadikan titik tolak kepada perubahan budaya sekolah yang lebih selamat demi masa depan generasi hari ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!