Kes Zara Qairina: NGO peguam desak akta khas lindungi pelajar berasrama

Gegar menuntut penggubalan undang-undang baharu bagi melindungi pelajar sekolah berasrama serta pelaksanaan siasatan telus berhubung kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lalu.
Gegar menuntut penggubalan undang-undang baharu bagi melindungi pelajar sekolah berasrama serta pelaksanaan siasatan telus berhubung kematian pelajar SMKA Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Guaman Rakyat (Gegar) menuntut penggubalan undang-undang baharu bagi melindungi pelajar sekolah berasrama serta pelaksanaan siasatan telus berhubung kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah, Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada 17 Julai lalu.

Sekretariat Gegar dalam kenyataan media berkata, kes berprofil tinggi itu menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan pelajar dan ketelusan sistem keadilan, sekali gus memerlukan tindakan segera pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu, undang-undang dan garis panduan sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat tidak memberikan perlindungan komprehensif kepada pelajar berasrama.

"Antara kelemahan dikenal pasti ialah ketiadaan Akta Perlindungan Pelajar dan Sekolah Berasrama (APPSB) yang mewajibkan audit keselamatan dan kebajikan tahunan oleh badan bebas.

"Ini kerana garis panduan sedia ada yang hanya bersifat pentadbiran tanpa kuasa undang-undang jelas serta ketiadaan pelaporan mandatori bagi semua kes penderaan, buli atau pengabaian.

“Kekurangan ini membolehkan sesetengah kes diselesaikan secara dalaman oleh pihak sekolah, sekali gus membuka ruang kepada pengabaian atau cubaan menutup kes,” kata kenyataan itu pada Ahad.

Mengulas lanjut, Gegar turut menzahirkan kebimbangan terhadap laporan peguam keluarga arwah bahawa terdapat kelemahan dalam pengurusan bukti awal.

Tambah kenyataan itu, hal ini termasuk pakaian dan barangan peribadi Allahyarhamah yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada siasatan forensik.

“Jika benar, ia menunjukkan kegagalan mematuhi prosedur siasatan ketat yang akhirnya boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem keadilan,” kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Gegar menggesa kerajaan segera melaksanakan dua reformasi utama iaitu pengenalan Akta Perlindungan Pelajar dan Sekolah Berasrama (APPSB) serta Rang Undang-Undang Koroner.

"APPSB mewajibkan audit keselamatan tahunan oleh badan bebas di semua sekolah berasrama, pelaporan mandatori semua kes penderaan, buli atau pengabaian serta hukuman tegas kepada pihak yang gagal membuat laporan.

"Rang Undang-Undang Koroner pula penting bagi penubuhan koroner bebas untuk menyiasat kematian mencurigakan secara profesional dan telus serta mewujudkan standard forensik kebangsaan bagi memastikan pengurusan bukti dijalankan mengikut piawaian tertinggi," jelas kenyataan itu.

Justeru, Gegar menegaskan kes ini adalah peringatan bahawa ketelusan bukan sekadar pilihan, tetapi syarat asas untuk mencapai keadilan.

“Gegar akan terus memantau perkembangan kes ini, memberi sokongan kepada keluarga Allahyarhamah dan mendesak pembaharuan undang-undang agar setiap nyawa yang hilang mendapat siasatan adil dan bermaruah,” kata kenyataan itu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!