Faris, Zara: Isyarat bahaya terhadap sistem

TIDAK semua mengenali nama Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, namun kisah tragiknya menyimpan pelajaran besar buat negara.
Pada tahun 2013, pelajar tahfiz berusia 16 tahun itu ditemui mati tergantung dalam tandas asrama sebuah sekolah tahfiz di bawah seliaan Yayasan Islam Kelantan. Kes itu pada awalnya ditutup sebagai kes bunuh diri.
Namun pada 2016, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematiannya adalah akibat perbuatan jenayah, dibunuh oleh individu yang belum dikenal pasti.
Sehingga hari ini, tiada tangkapan, tiada pendakwaan dan meskipun hampir 12 tahun berlalu.
Akhirnya, pada Julai lepas, ibu bapanya terpaksa memfailkan saman sivil terhadap kerajaan, Ketua Polis Negara dan pegawai penyiasat bagi menuntut pembelaan.
Kes Wan Ahmad Faris bukan sekadar tragedi peribadi, tetapi manifestasi bagaimana kelemahan dalam menyelesaikan siasatan dan mengesan pelaku walaupun sudah ada keputusan mahkamah sekali gus menggugat keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Berbeza sama sekali, kes buli yang berlaku di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Terengganu baru-baru ini memperlihatkan tindakan pantas dan menyeluruh oleh pentadbir Majlis Amanah Rakyat (Mara) sendiri disokong tangkapan oleh pihak berwajib, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam tempoh singkat selepas insiden berlaku, siasatan dalaman dijalankan dan semua pelajar terbabit dibuang sekolah tanpa kompromi.
Ini bukan soal status pelajar atau emosi awam, tetapi prinsip bahawa setiap individu yang melanggar undang-undang harus dipertanggungjawabkan.
Lebih penting, mesej yang dihantar ialah budaya ‘sorok bawah karpet’ tidak lagi boleh diterima dalam mana-mana institusi.
Pada 17 Julai lalu, seorang lagi pelajar bawah umur, Zara Qairina Mahathir, 13, meninggal dunia di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, mencetuskan gelombang duka dan kemarahan rakyat.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman, namun siasatan awal didakwa penuh dengan kelompangan termasuk tiada bedah siasat dan pakaian mangsa tidak disimpan sebagai bahan bukti.
Spekulasi liar mula tersebar di media sosial sementara keluarga masih menanti jawapan jelas.
Kertas siasatan yang dihantar kepada Jabatan Peguam Negara pada 4 Ogos dipulangkan semula kerana tidak lengkap.
Sekali lagi, memperlihatkan corak siasatan yang lemah, bercelaru dan tidak konsisten seolah-olah kes seumpama ini sentiasa berdepan pengakhiran tanpa jawapan.
Namun, ada satu perubahan besar apabila rakyat kini tidak lagi diam.
Gelombang solidariti mula terbentuk dari rakyat biasa hingga ahli Parlimen, dari badan bukan kerajaan ke kepimpinan wanita parti politik.
Cadangan seperti Akta Anti-Buli, audit keselamatan sekolah, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) wajib dan latihan profesional kepada warden mula dibahaskan secara terbuka.
Tiga kes ini tidak wajar dilihat secara terasing, kes Wan Ahmad Faris mewakili kegagalan jangka panjang dalam menegakkan keadilan, MRSM bagaimanapun membuktikan bahawa penyelesaian tegas dan cepat boleh dilakukan apabila warden sendiri tangkas melakukan pemeriksaan.
Kes Zara Qairina pula menjadi titik amaran jika kelalaian terus dibiarkan, tidak mustahil mengulangi kitaran lama yang boleh meragut lebih banyak nyawa.
Tindakan yang diperlukan kini bukan lagi permohonan maaf atau kenyataan bersifat reaktif, tetapi reformasi menyeluruh.
Semua pihak dan seluruh rantaian perlu tunduk kepada prinsip kebertanggungjawaban.
Keadilan kepada pelajar bukan urusan dalaman sekolah semata-mata tetapi cerminan keutuhan sistem perundangan negara.
Jika satu kes dapat diselesaikan dalam masa seminggu, kenapa satu lagi perlu ambil masa satu dekad?
Rakyat sudah celik dan mereka tidak akan berhenti bertanya. Institusi tidak lagi boleh bersembunyi di sebalik prosedur kerana ini soal nyawa.
*Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Biro Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

