Peka aduan anak, jangan anggap buli normal - Nancy

Nancy (dua dari kanan) bersama Fahmi (kiri) menyantuni mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi, Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Bernama
Nancy (dua dari kanan) bersama Fahmi (kiri) menyantuni mangsa kebakaran yang ditempatkan di PPS Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi, Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyeru semua pihak supaya peka terhadap sebarang aduan berkaitan isu buli.

Beliau berkata, ibu bapa harus prihatin serta mendengar aduan anak-anak dan segera membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerusi talian bantuan 15999 atau menghubungi polis sekiranya berlaku insiden buli sama ada di sekolah mahupun di rumah.

“Kita tidak mahu buli ini menjadi normalisasi dalam masyarakat... sebab itu, kerajaan mengambil berat dan mengambil tindakan tegas. Jika berlaku di sekolah, kita beritahu ibu bapa, tetapi jika ibu bapa sendiri menjadi masalah, maka mereka (mangsa) perlu mencari orang yang dipercayai untuk mendengar masalah mereka.

“Pada masa sama, masyarakat juga perlu memberi ruang kepada anak-anak ini kerana tiada tempat lain untuk mereka mengadu... sebab itu, kita advokasikan nombor talian bantuan 15999. Jika berlaku, sama-samalah kita menjalankan tanggungjawab,” katanya.

Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi, yang menempatkan 66 orang daripada 17 keluarga.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Peluncuran Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Wilayah Persekutuan 2025 di Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Kerinchi yang turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Nancy juga berkata, pihaknya akan terus menghulurkan bantuan dalam kes membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

“JKM merupakan agensi pertama yang menghubungi dan bertemu ibu mangsa bagi menawarkan bantuan sebaik menerima maklumat kejadian. Kita belum tahu lagi keputusan siasatan, jadi kita serahkan kepada Jabatan Peguam Negara dan polis… itu menjadi tugasan mereka dan kita akan mengikuti perkembangannya.

“Saya juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham kerana kita sebagai ibu bapa turut merasai kesedihan mereka. Saya harap mereka tenang dan bekerjasama dengan pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zara Qairina ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lalu, sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada keesokan harinya.

Mengenai program hari ini, Nancy berkata, ia adalah sebahagian daripada langkah pencegahan dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap isu penderaan, pengabaian, eksploitasi dan buli selaras dengan pelaksanaan Akta Kanak-Kanak 2001.

Beliau berkata, mengikut statistik JKM, terdapat 650 kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak di Kuala Lumpur setakat Jun lalu, dan oleh yang demikian, semua pihak termasuk komuniti perlu tampil membantu membanteras isu tersebut. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!