Sekolah berasrama masih selamat - Fadhlina

Fadhlina (tengah) bergambar bersama penerima Cek Cura Sekolah Autistik di Bukit Mertajam pada Khamis.
Fadhlina (tengah) bergambar bersama penerima Cek Cura Sekolah Autistik di Bukit Mertajam pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bahawa semua sekolah berasrama penuh di seluruh negara masih selamat serta menitikberatkan kesejahteraan pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa mempertingkatkan aspek keselamatan di semua 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di seluruh negara, selain komited menambah baik ekosistem pendidikan demi memastikan pelajar berada dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.

“Saya ingin beri jaminan kepada ibu bapa bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh di seluruh negara masih selamat.

“Kita sentiasa mempertingkatkan soal keselamatan dan penambahbaikan dalam semua aspek supaya sekolah ini terus menjadi institusi pendidikan yang berimpak tinggi untuk anak-anak kita,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Cek Cura Sekolah Autistik di sini pada Khamis.

Fadhlina berkata, meskipun terdapat kebimbangan dalam kalangan ibu bapa khususnya berkaitan isu buli, beliau menegaskan bahawa gejala itu tidak boleh ditangani secara bersendirian oleh pihak sekolah.

Sebaliknya, katanya, isu tersebut memerlukan kerjasama semua pihak termasuk kementerian, agensi kerajaan, komuniti dan ibu bapa.

“Isu buli ini perlu ada usaha kolektif. Kita mohon masyarakat untuk bersama membantu membanteras isu ini.

“Benar kita ada peraturan dan garis panduan, tetapi itu tidak mencukupi jika hanya dilaksanakan di sekolah. Ia mesti merentas semua kementerian, agensi dan komuniti,” katanya.

Tambah beliau, pelbagai langkah sedang diambil bagi memperkukuh pemantauan dan pencegahan buli di sekolah, termasuk memastikan kehadiran guru sepanjang masa persekolahan serta menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam usaha mendidik dan memulihkan pelajar yang terlibat dalam salah laku buli, Kementerian Pendidikan memperkenalkan program Bangkit Bermaruah, iaitu satu bentuk khidmat masyarakat bagi pelajar yang dikenakan tindakan gantung persekolahan.

“Anak-anak yang digantung akibat kesalahan disiplin termasuk buli tidak akan hanya duduk di rumah.

“Mereka akan terlibat dalam program khidmat masyarakat ini yang diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) setiap negeri,” tambahnya.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan memberi kesedaran dan membentuk keinsafan dalam kalangan pelajar agar menjadi individu yang lebih bertanggungjawab.

Selain itu, katanya, kementerian turut memperkukuh peranan kaunselor sekolah melalui latihan tambahan supaya lebih cekap mengenal pasti tanda-tanda pelajar yang mungkin menjadi mangsa buli atau mempunyai kecenderungan melakukan salah laku.

“Kita tingkatkan program kaunseling dan latihan kepada kaunselor supaya mereka dapat mengesan lebih awal tanda-tanda anak-anak kita yang dibuli atau terlibat dalam salah laku disiplin,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhlina menjelaskan bahawa sebarang kesalahan yang berlaku di peringkat sekolah akan dinilai secara berhemah mengikut peraturan sedia ada.

Ini termasuk tindakan gantung, buang sekolah, atau amaran, namun pendekatan pendidikan dan pemulihan tetap menjadi keutamaan.

“Anak-anak ini masih dalam proses pembelajaran. Maka, setiap tindakan mesti disertakan dengan kaunseling dan pendekatan pendidikan bagi membantu mereka berubah menjadi lebih baik,” ujarnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, mendakwa ramai ibu bapa di Sabah kini fobia untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah berasrama.

Tanpa merujuk secara spesifik kepada mana-mana kes, kenyataan Bung Moktar itu dipercayai berkaitan dengan kematian pelajar Tingkatan Satu di Papar, Sabah yang mencuri perhatian iaitu arwah Zara Qairina Mahathir, 13, yang didakwa mempunyai kaitan dengan kes buli.

Bung Moktar dilaporkan berkata, kes buli di sekolah semakin berleluasa, lebih-lebih lagi di sekolah berasrama, sama ada sekolah agama, sekolah vokasional atau sekolah kebangsaan.

Justeru, beliau menegaskan KPM perlu melihat kepada pendekatan baharu bagi menangani isu buli ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!