Punca pencemaran bau dari kawasan perindustrian: LUAS

Pengguna di tujuh wilayah dijangka terjejas ekoran kejadian itu. Foto: Gambar hiasan.
Pengguna di tujuh wilayah dijangka terjejas ekoran kejadian itu. Foto: Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor dipercayai berpunca dari Kawasan Perindustrian Kecil Sungai Bakau Country Home, Rawang, dekat sini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerusi kenyataan media memaklumkan pihaknya mendapati pencemaran bau dengan bacaan 4 ton itu direkodkan di kawasan yang terletak kira-kira 17 kilometer dari Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang.

Katanya, pihaknya turut mendapati terdapat bau seakan pelarut di kawasan Sungai Gong dan Sungai Bakau sebelum ini.

"Pensampelan kualiti air telah dilaksanakan bagi tujuan analisa oleh Jabatan Kimia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka berlaku di tujuh wilayah termasuk Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat berikutan pencemaran bau yang dikesan pada sumber air mentah di Sungai Selangor, semalam.

Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihentitugas pada jam 7 malam semalam susulan insiden tersebut.

Mengulas lanjut, LUAS berkata, pihaknya turut mengaktifkan pengepaman air kolam alternatif di Bestari Jaya sebanyak 972 juta liter sehari (JLH) untuk meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa sama, pembukaan sementara Pintu 5 di Baraj Bestari Jaya juga dilakukan bagi tujuan mempercepatkan aliran ke hilir Sungaj Selangor dan berjaya membantu meningkatkan pencairan dan pengoperasian LRA dengan segera," katanya.

Tambahnya, empat LRA utama yang terjejas sebelum ini telah beroperasi semula sekitar jam 10.15 hingga jam 10.30 malam, semalam.

"LUAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) serta pihak terlibat sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh di lokasi dengan melaksanakan langkah kawalan serta mitigasi bagi mengelakkan pencemaran berulang.