MCMC arah sekatan sementara AI Grok susulan pelanggaran kandungan

No Image Caption
A
A
A

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna di Malaysia berkuat kuasa mulai 11 Januari 2026.

Menurut MCMC, tindakan itu diambil susulan penyalahgunaan Grok secara berulang untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan termasuk kandungan melibatkan wanita dan kanak-kanak.

MCMC memaklumkan, penyalahgunaan tersebut berlaku walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC.

Tambahnya, notis telah dikeluarkan kepada kedua-dua syarikat itu pada 3 Januari dan 8 Januari 2026 bagi menuntut pelaksanaan langkah perlindungan teknikal serta penyelia kandungan yang berkesan bagi mencegah kandungan janaan AI yang berpotensi melanggar undang-undang Malaysia termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Bagaimanapun, maklum balas yang diterima daripada X Corp. pada 7 Januari dan 9 Januari 2026 didapati hanya memberi tumpuan kepada mekanisme pelaporan oleh pengguna dan gagal menangani risiko sedia ada yang berpunca daripada reka bentuk serta pengoperasian alat AI berkenaan.

MCMC mendapati pendekatan tersebut tidak memadai bagi mencegah kemudaratan dan memastikan pematuhan kepada undang-undang.

Sehubungan itu, sekatan sementara dikenakan sebagai langkah pencegahan yang wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan.

MCMC turut memaklumkan, sekatan ke atas akses Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Dalam pada itu, MCMC menegaskan pihaknya kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp. dan xAI LLC tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia.

Orang awam turut digesa melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada MCMC dengan segera dan jika perlu, membuat laporan polis kepada Polis Diraja Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!