Situasi di Gaza makin meruncing, misi Global Sumud Flotilla 2.0 bakal digerakkan

KUALA LUMPUR - Kerajaan Madani akan terbabit secara langsung dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 yang bakal disertai lebih 80 negara seluruh dunia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, pembabitan secara langsung dalam misi itu adalah kesinambungan perjuangan moral antarabangsa yang menuntut keberanian untuk menegakkan keadilan dan hak kemanusiaan tanpa mengira batas sempadan, bangsa atau agama.
"Insya-ALLAH, kita akan menggerakkan segala kudrat untuk membantu dan memperjuangkan hak rakyat Palestin. Keadilan ini tidak boleh lagi ditangguhkan demi sebuah Palestin yang bermaruah dan merdeka,” kata beliau dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Komitmen itu ditegaskan Anwar selepas menerima kunjungan Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) yang juga Ketua Aktivis Kemanusiaan Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Sani Araby bersama Pengasas Sumud Nusantara Nadir Al-Nuri di pejabat beliau di Putrajaya pada Selasa.
Anwar berkata, beliau dimaklumkan mengenai situasi kemanusiaan di Gaza yang semakin meruncing akibat sekatan bantuan berpanjangan, ketidaktentuan konflik serta penderitaan rakyat Palestin yang terus dihimpit kekejaman.
Dalam pertemuan itu, Sani dan Nadir turut berkongsi keberhasilan Misi Sumud Nusantara yang berjaya memecahkan kebisuan dunia dan mengangkat suara Gaza ke pentas antarabangsa. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan Madani akan aktif dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 bersama lebih 80 negara
- Pembabitan ini adalah kesinambungan perjuangan moral antarabangsa untuk keadilan dan hak kemanusiaan
- Anwar Ibrahim berazam untuk menggerakkan segala kudrat demi membantu rakyat Palestin
- Komitmen ini ditegaskan selepas pertemuan dengan Ketua Pengarah SNCC dan Pengasas Sumud Nusantara
- Situasi kemanusiaan di Gaza yang meruncing menjadi perhatian utama dalam pertemuan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
