Kemalangan maut di Rawang: MOT siasat syarikat pengendali bas - Anthony

Anthony (tengah) bercakap pada sidang media sempena Majlis Perasmian Karnival Pengangkutan Siswa Madani & FLYsiswa 2026 di UPM, Serdang pada Selasa.
Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan (kanan).
--fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Anthony (tengah) bercakap pada sidang media sempena Majlis Perasmian Karnival Pengangkutan Siswa Madani & FLYsiswa 2026 di UPM, Serdang pada Selasa. Turut kelihatan, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan (kanan). --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

SERDANG - Kementerian Pengangkutan melaksanakan siasatan terhadap syarikat pengendali bas yang terbabit dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di KM 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara Sungai Buaya dan Rawang di sini pada Ahad lepas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, siasatan merangkumi aspek pematuhan terhadap Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) Jabatan Pengangkutan Jalan serta pematuhan terhadap pemasangan peranti had kelajuan (SLD).

"Tindakan pertama kita (selepas kemalangan) adalah kita terus buat audit. JPJ akan masuk untuk membuat audit dan akan disampaikan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

"Jadi kalau audit mereka gagal tindakan pertama ialah akan digantung operasi. Bas dan syarikat itu juga akan disiasat sama ada mereka telah mematuhi pemasangan SLD, kalau mereka tidak memasang SLD maka tindakan akan diambil,” katanya.

Anthony berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Karnival Pengangkutan Siswa Madani dan FlYsiswa 2026 di sini pada Selasa yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Ditanya mengenai pelaksanaan sistem telematik untuk bas, beliau berkata, kerajaan akan melantik beberapa syarikat bagi melakukan bukti konsep (POC) mengenai sistem berkenaan.

"Telematik memang kita ingin laksanakan, cuma sekarang ini memang kita akan lantik beberapa syarikat untuk buat POC.

"Ia (sistem) bukan sahaja kepada bas tetapi juga kenderaan perdagangan lain. Jadi ini adalah sesuatu yang MOT sedang lakukan,” katanya.

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, polis menahan pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan di KM 441.2 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) antara Sungai Buaya dan Rawang pada Ahad.

Beliau berkata, lelaki berusia 22 itu ditahan dan direman sehari bagi membantu siasatan.

Media melaporkan seorang maut manakala sembilan lagi termasuk penunggang motosikal dan pemandu lori cedera parah selepas sebuah bas ekspres hilang kawalan semasa berada di lorong kanan sebelum melintang di tengah lebuh raya. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Pengangkutan melaksanakan siasatan terhadap syarikat pengendali bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan
  • Siasatan merangkumi pematuhan terhadap Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan dan pemasangan peranti had kelajuan
  • Jika syarikat gagal audit, operasi akan digantung dan tindakan akan diambil jika tidak memasang SLD
  • Kerajaan akan melantik syarikat untuk bukti konsep mengenai pelaksanaan sistem telematik untuk bas dan kenderaan perdagangan lain
  • Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan ditahan untuk membantu siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!