Jaminan KDN jaga kebajikan keluarga Koperal Mohd Hafizul dihargai

Anak-anak Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, Muhammad Akif Naufal,11, dan Muhammad Ammar Nazran, 9, menyiram air pada pusara ayah mereka pada istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Putera Jaya pada Jumaat. Foto Bernama
Anak-anak Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, Muhammad Akif Naufal,11, dan Muhammad Ammar Nazran, 9, menyiram air pada pusara ayah mereka pada istiadat pengebumian kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Putera Jaya pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jaminan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memastikan kebajikan keluarga Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang terkorban dalam usaha menangkap penjenayah di Alor Setar, Kedah semalam terjamin amat dihargai.

Timbalan Pengerusi II Pertubuhan Peduli Masyarakat (PERMAS), Amin Auzaie Ibrahim mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada KDN kerana mengambil tindakan pantas membela nasib ahli keluarga Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengambil tindakan pantas dan penuh tanggungjawab dalam menguruskan pemergian anggota yang sanggup mengorbankan jiwanya sendiri.

“Allahyarham Koperal Mohd Hafizul bukan sahaja seorang anggota keselamatan, malah wira negara yang mempertahankan keamanan awam dengan penuh keberanian dan semangat juang yang tinggi.

“Kehilangan beliau merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), malah kepada negara seluruhnya,” kata Mohd Amin dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Kejadian yang melibatkan Mohd Hafizul telah mendapat perhatian segera daripada pihak Kementerian Dalam Negeri.

Mohd Hafizul yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan selepas dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah disyaki terlibat dalam kes pecah rumah.

Dalam kejadian 3.30 petang semalam, pihak polis menerima maklumat awam berhubung aktiviti jenayah disyaki pecah rumah di taman perumahan berkenaan sebelum sepasukan lima pegawai serta anggota JSJ IPK Kedah termasuk Allahyarham telah ke lokasi kejadian dengan menaiki dua kenderaan.

Bagaimanapun sebaik tiba, Mohd Hafizul yang keluar dari kereta terus dirempuh kenderaan dinaiki suspek yang cuba melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang suspek berjaya ditahan di lokasi sementara tiga lagi melarikan diri sebelum berjaya diberkas di Kepala Batas, dekat Alor Setar.

Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 457 akta sama kerana pecah rumah.

Allahyarham meninggalkan isteri Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36, dan tiga anak Muhammad Akif Naufal,11, Muhammad Ammar Nazran, 9, dan Muhammad Afiq Nazim, 4.

Amin Auzaie berkata, jaminan yang diberikan oleh Saifuddin untuk menjaga kebajikan keluarga Allahyarham termasuk bantuan kewangan, sokongan psikososial serta pendidikan anak-anak mendiang mencerminkan kerajaan yang cakna dan bertanggungjawab terhadap penjawat awam.

Katanya, langkah ini bertepatan dengan prinsip kebertanggungjawaban sosial kerajaan terhadap golongan yang berkhidmat mempertaruhkan nyawa demi keselamatan rakyat.

“Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa lebih 120,000 anggota barisan hadapan berada dalam kategori berisiko tinggi, terutama dalam sektor keselamatan dan kesihatan awam.

“Justeru, perlindungan kebajikan mereka amat penting bagi menjamin kesinambungan perkhidmatan yang efisien dan berintegriti,” katanya.

Dalam masa sama, Amin Auzaie berkata, PERMAS menyeru agar pendekatan yang diambil oleh Datuk Seri Saifuddin dijadikan model kepimpinan dalam sektor awam – berpaksikan nilai kemanusiaan, kecekapan pentadbiran, dan kesungguhan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Ini adalah contoh terbaik seorang Menteri Dalam Negeri yang bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab secara formal, tetapi juga tampil sebagai pelindung dan pembela barisan hadapan negara.

“Sokongan menyeluruh terhadap keluarga Allahyarham juga menzahirkan bahawa kerajaan hari ini tidak membiarkan wira-wira negara dilupakan selepas pengorbanan mereka, sebaliknya terus dihargai dan dikenang jasa mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!