'Papa pesan jaga solat'

Anak sulung Allahyarham Mohd Hafizul Izham iaitu Muhammad Akif Naufal (kanan) yang sugul ditenangkan neneknya, Maznah ketika di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Kancil pada Jumaat.
Anak sulung Allahyarham Mohd Hafizul Izham iaitu Muhammad Akif Naufal (kanan) yang sugul ditenangkan neneknya, Maznah ketika di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Kancil pada Jumaat.
A
A
A

SETIU – 'Papa pesan jaga solat, jangan tinggal solat.'

Demikian pesanan yang terpahat dalam ingatan Muhammad Akif Naufal, 11, sebelum bapanya, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, maut dirempuh penjenayah dalam kejadian di Alor Setar, Kedah, petang Khamis.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, kali terakhir dia bertemu Allahyarham Mohd Hafizul Izham pada Khamis ketika bapanya itu menjemputnya pulang dari sekolah.

"Kali terakhir saya jumpa papa masa dia jemput saya balik sekolah kira-kira jam 1.15 tengah hari

"Lepas tu papa hantar saya balik rumah. Saya dan seorang lagi adik ikut mak kawan ke Aman Sentral.

"Sebelah petang, ada anggota polis datang ambil saya di Aman Sentral. Saya ingatkan papa yang suruh saya balik rumah sebab ada kawan papa yang meninggal.

"Masa tu memang tak tahu langsung kejadian menimpa papa," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Kancil, di sini, pada Jumaat.

Akif berkata, dia mengetahui bapanya telah meninggal dunia selepas tiba di Hospital Sultanah Bahiyah sekitar jam 6.30 petang.

"Waktu tu saya nampak mama menangis dan baru saya tahu yang papa sebenarnya meninggal dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham meninggalkan balu, Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36 dan dua lagi cahaya mata, Muhammad Ammar Nazran, 9, dan Muhammad Afiq Nazim, 4.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Allahyarham yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah maut selepas dirempuh sebuah kenderaan dinaiki empat penjenayah berhampiran Taman Golf, Alor Setar, ketika cuba menghalang suspek melarikan diri dalam kes pecah rumah.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pagi tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Kancil dengan penuh istiadat kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat.

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!