'Arwah suami baru ditukar ke jabatan JSJ' - Isteri Koperal Hafizul

Nur Azhanis (kiri) ditenangkan kenalannya sebelum mengiringi jenazah arwah Mohd Hafizul Izham ke Setiu, Terengganu untuk dikebumikan pada Jumaat. Gambar kecil: Arwah Mohd Hafizul
Nur Azhanis (kiri) ditenangkan kenalannya sebelum mengiringi jenazah arwah Mohd Hafizul Izham ke Setiu, Terengganu untuk dikebumikan pada Jumaat. Gambar kecil: Arwah Mohd Hafizul
A
A
A

ALOR SETAR – Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, yang maut selepas dirempuh suspek pecah rumah dalam kejadian di Taman Golf di sini pada Khamis disifatkan sebagai seorang suami baik dan bapa penyayang.

Menurut isterinya, Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36, arwah tidak pernah mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga walaupun tugasnya sebagai anggota polis menuntut komitmen tinggi.

“Walaupun sibuk dengan kerja, arwah tetap ambil anak dari sekolah. Itu memang rutin dia sebagai seorang ayah yang penyayang.”

“Hari Selasa dia balik lewat dari kerja. Saya dah tidur sebab esok pagi nak kerja. Tapi semalam, sebelum kejadian, dia sempat ambil anak dari sekolah macam biasa,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah pada malam Khamis.

Beliau yang bekerja swasta berkata, arwah seorang suami dan bapa yang sangat bertanggungjawab serta disenangi keluarga dan rakan-rakan.

Nur Azhanis (tengah) ditenangkan oleh kenalannya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah pada malam Khamis.
Nur Azhanis (tengah) ditenangkan oleh kenalannya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah pada malam Khamis.

“Dia suka tolong keluarga, mentua, semua orang. Dia memang baik. Tak ada langsung tanda-tanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya dalam nada sebak.

Tambahnya, arwah suaminya baru sahaja ditugaskan ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) selepas berkhidmat di Unit Peronda Motosikal (URB).

Artikel Berkaitan:

“Dia pernah cakap yang dia agak bimbang dengan tugas barunya. Tapi dia tetap jalankan amanah dengan penuh dedikasi,” ujarnya.

Pasangan itu telah mendirikan rumah tangga selama 12 tahun dan dikurniakan tiga cahaya mata berusia antara empat hingga 11 tahun.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Setiu, Terengganu, pada Jumaat.

Sementara itu, empat suspek kes pecah rumah yang terlibat dalam kejadian telah ditahan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh serta Seksyen 457 kerana pecah rumah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!