Jenazah Koperal Hafizul Izham disemadikan mengikut istiadat kepahlawan PDRM

SETIU – Jenazah Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan yang maut dirempuh penjenayah ketika menjalankan tugas di Alor Setar pada Khamis selamat dikebumikan mengikut istiadat kepahlawanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pak Kancil di sini kira-kira jam 10.20 pagi pada Jumaat.
Allahyarham sebelum itu dibawa ke kediaman keluarganya di sini jam 8.40 pagi sebelum disolatkan di Masjid Kampung Pak Kancil sekitar jam 9.15 pagi dengan dihadiri lebih 500 jemaah.
Suasana pilu menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila lebih 300 orang termasuk ahli keluarga, rakan setugas dan penduduk kampung hadir memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Istiadat pengebumian itu dijalankan mengikut istiadat PDRM dengan penyerahan bendera Sang Saka Biru oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Khairi Khairudin kepada bapa Allahyarham, Mazlan Umar sebagai tanda penghormatan.
Mohd Hafizul Izham yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 3.30 petang semalam akibat dirempuh kenderaan dinaiki empat penjenayah berhampiran Taman Golf, Alor Setar, Kedah.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa cuba menghalang suspek kes pecah rumah daripada melarikan diri sebelum dirempuh secara sengaja oleh kenderaan terbabit.
Media sebelum ini melaporkan semua suspek berjaya melarikan diri namun kesemua mereka berjaya ditahan polis pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
