Kes dera kanak-kanak semakin meruncing

KEBELAKANGAN ini kes atau kisah penderaan melibatkan bayi dan kanak-kanak banyak dilaporkan sekali gus mengundang kegusaran dalam kalangan masyarakat negara ini.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 2,240 kes penderaan dilaporkan sehingga Ogos 2024.
Jumlah tertinggi dilaporkan melibatkan penderaan seksual dengan 1,260 kes, diikuti kejadian fizikal (897 kes) dan emosi (83 kes).
Sementara itu menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, sebanyak 354 kes penderaan kanak- kanak yang membawa kepada kematian dilapor dalam tempoh lima tahun hingga 2024.
Menurut Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 44 kes penderaan kanak-kanak membawa kepada kematian pada 2020, 24 kes (2021), 74 kes (2022), 98 kes (2023) dan 114 kes pada 2024.
Terbaru kisah memilukan kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan di sebuah kondominium di Cheras berpunca daripada penderaan dan penganiayaan berterusan sejak sebulan lalu.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan pelbagai di seluruh badan dan ia menimbulkan tanda tanya ke atas hubungan percaya antara penjaga dengan anak malang itu.
Di Kuala Langat pula, kes kematian membabitkan bayi berusia empat bulan yang disimpan di taska haram membangkitkan persoalan mengenai nisbah penjaga dengan kanak-kanak yang tidak mematuhi peraturan.
Keprihatinan umum terhadap penderaan bukan hanya kerana jumlah yang tinggi, tetapi mencerminkan krisis tanda kepercayaan terhadap penjagaan seharian kanak-kanak oleh orang dewasa.
Apatah lagi trauma fizikal dan psikologi dialami mangsa boleh memberi kesan panjang seperti gangguan emosi dan pembelajaran merosot.
Antara punca utama perkara ini berlaku disebabkan oleh tekanan kewangan, kekurangan pemantauan terhadap pusat jagaan dan pengabaian tanggungjawab ibu bapa serta penjaga.
Pendidikan literasi digital kepada ibu bapa serta penglibatan masyarakat merupakan kunci kepada perlindungan generasi akan datang. Usaha mengekang penderaan tidak boleh bersifat memberikan reaksi terhadap isu yang berlaku sahaja.
Ia memerlukan kolaborasi antara kerajaan, sekolah, NGO, komuniti dan setiap individu dewasa untuk memastikan setiap anak di negara ini dibesarkan dalam persekitaran selamat dan mendapat peluang berkembang tanpa rasa takut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
