Suami isteri disyaki dera kanak-kanak lelaki ditahan

KANGAR – Polis menahan ibu kandung dan bapa tiri seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Kampung Dato Ahmad Musa, Simpang Empat, dekat sini kerana disyaki mendera kanak-kanak tersebut.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, lelaki berumur 37 tahun dan isterinya, 27, itu ditahan kira-kira jam 11 malam tadi dan direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Yusharifuddin berkata, datuk kanak-kanak itu membuat laporan polis pada Ahad lepas selepas cucunya mengadu dicubit pada paha kanan, dicekik, ditampar di kepala, dibaling batu pada dada kiri dan dicucuk menggunakan jarum pada lengan kiri.
“Mangsa mengadu kepada datuknya pada jam 9 malam, Jumaat lepas, dan memaklumkan kejadian berlaku di rumah ibunya.
“Pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah mendapati tiada kesan lebam atau bengkak pada anggota badan mangsa, kecuali kesan satu cucukan jarum atau benda tajam kecil pada lengan kiri mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata, mangsa masih dirawat di hospital dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
