[VIDEO] Ibu kandung, kekasih direman disyaki dera bayi 15 bulan hingga maut

A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang ibu tunggal dan kekasihnya direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah, di sini, pada Isnin selepas disyaki membunuh bayi perempuan berusia 15 bulan dengan cara mendera mangsa.

Perintah reman terhadap suspek wanita, seorang penganggur berusia 24 tahun, dan teman lelakinya yang bekerja di sebuah kedai peralatan memancing berusia 20 tahun, dikeluarkan oleh Majistret Dr Teoh Shu Yee sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pasangan kekasih direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di Alor Gajah, pada Isnin.
Pasangan kekasih direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di Alor Gajah, pada Isnin.

Kedua-dua suspek tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 9.10 pagi dengan menaiki kenderaan polis.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang bayi perempuan berusia 15 bulan disyaki maut didera ibu dan teman lelakinya di sebuah kedai di Bandar Satelit, Pulau Sebang, di sini pada malam Ahad.

Nasib malang yang menimpa bayi itu terbongkar selepas wanita yang telah bercerai tahun lalu membawa anaknya ke Hospital Tampin kira-kira jam 11 malam selepas anaknya didakwa tidak sedarkan diri.

Sumber berkata, pemeriksaan doktor ke atas bayi tersebut menemui beberapa kesan lebam pada perut dan belakang badan mangsa selain kecederaan pada lubang dubur sebelum membuat laporan polis.

Menurutnya, siasatan awal mendapati wanita dari Kampung Anak Air Durian Daun, Tampin telah membawa anak kandungnya di tempat kerja teman lelakinya di Bandar Satelit, Pulau Sebang di sini, kira-kira 6.30 petang sebelum kejadian.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan ibu kandung bayi malang itu keluar untuk membungkus makanan dan meninggalkan mangsa bersama teman lelakinya yang bekerja di kedai menjual peralatan memancing.

"Apabila wanita itu kembali ke kedai kekasihnya pada jam 10 malam, dia mendapati bayinya sedang tidur manakala teman lelakinya menguruskan kedai.

Bagaimanapun kira-kira jam 10.30 malam wanita itu cuba mengejutkan anak tunggalnya untuk pulang ke rumah, namun mangsa tidak sedarkan diri sebelum dia dan kekasihnya membawa mangsa ke hospital," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!