Wanita ditahan disyaki dera anak angkat

JELEBU - Seorang wanita ditahan selepas disyaki mendera anak angkat lelakinya berusia 13 tahun selepas mangsa ditemui dengan kesan lebam pada beberapa bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintenden Azizan Said berkata, kejadian itu terbongkar selepas pihaknya menerima laporan pada Jun lalu daripada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Talian Kasih berhubung insiden penderaan yang berlaku di Kuala Klawang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di daerah ini telah beberapa kali dipukul oleh ibu angkatnya usia 35 tahun sejak tahun 2024.
“Penderaan dipercayai bermula apabila mangsa lambat atau lupa melaksanakan arahan. Mangsa mengadu sering dimaki, dijerit dan dipukul menggunakan objek seperti penyangkut baju dan batang besi vakum,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kejadian terbaru berlaku pada 14 Jun lalu ketika mangsa sedang bersiap untuk menghadiri hari sukan di sekolah, sebelum suspek tiba-tiba menyerangnya menggunakan batang besi vakum.
Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kesan lebam di beberapa bahagian badan termasuk siku, pergelangan tangan dan punggung.
Mangsa telah diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dibawa ke Hospital Jelebu untuk pemeriksaan lanjut.
“Laporan perubatan mengesahkan kecederaan disebabkan objek tumpul berbentuk rod dan dipercayai berlaku dalam tempoh tiga hari sebelum pemeriksaan dilakukan.
“Difahamkan, mangsa merupakan anak angkat dijaga suspek sejak berusia enam tahun dan dikategorikan sebagai OKU (ADHD). Suspek turut mempunyai dua anak kandung masing-masing berusia lima tahun dan tujuh bulan,” ujar beliau.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan polis masih menunggu laporan perubatan penuh serta siasatan lanjut bagi menentukan punca kecederaan sama ada akibat penderaan atau disebabkan tingkah laku hiperaktif mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

