Kes Tishant: Suspek akan didakwa cederakan isteri

JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan telah menerima arahan untuk mendakwa suspek utama dalam kes kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun, M Tishant, selepas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selesai dijalankan.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, siasatan terhadap suspek kini masih diteruskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, susulan penemuan mayat kanak-kanak malang itu yang tertanam di kawasan belukar di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Menurutnya, siasatan di Johor hanya membabitkan Seksyen 323/324 Kanun Keseksaan, Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan kerana didakwa mencederakan isteri, selain Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Polis Johor telah menerima arahan untuk menuduh suspek, dan tindakan pendakwaan akan diambil selepas kes siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diselesaikan.
"Ia membabitkan kes mencederakan isteri serta laporan polis suspek yang mendakwa anaknya hilang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada Ahad.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek sebelum ini membuat laporan mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan di dalam kereta, namun kenyataan suspek didapati tidak konsisten dan meragukan.
Sebelum kejadian itu, katanya, polis turut menerima laporan daripada isteri suspek pada 22 Julai lalu yang mendakwa dirinya telah dipukul dan anak mereka telah dibawa lari oleh suspek.
“Berdasarkan laporan itu, kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, sebelum suspek ditahan.
"Selesai siasatan, suspek dibebaskan dengan jamina polis dan suspek pula telah membuat satu laporan polis mendakwa dia telah meninggalkan anaknya di dalam kereta sebelum anaknya dilaporkan hilang," katanya.
Beliau berkata, polis kemudian membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak selain siasatan orang hilang.
"Namun, ketika merakam percakapan suspek, kenyataannya didapati tidak konsisten dan meragukan. Akibatnya, kita menahan semula suspek dan reman dibuat di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
