Ibu kanak-kanak maut dibunuh dalam keadaan stabil - Polis

Ibu mendiang Tishant sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana mengalami kemurungan susulan kehilangan anak tunggalnya.
Ibu mendiang Tishant sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana mengalami kemurungan susulan kehilangan anak tunggalnya.
A
A
A

PASIR GUDANG – Ibu kepada mendiang M Tishant, kanak-kanak lelaki yang dibunuh dan mayatnya ditemukan tertanam di kawasan belukar di Rompin, Jempol baru-baru ini, dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, wanita berusia lingkungan 30-an itu sebelum ini dimasukkan ke hospital kerana mengalami kemurungan susulan kehilangan anak tunggalnya.

"Polis mengesahkan ibu mendiang Tishant yang dikatakan cuba membunuh diri sudah dibenarkan keluar dari hospital pagi tadi.

"Keadaannya dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak malang tersebut dilaporkan hilang di Johor Bahru pada Khamis lalu sebelum mayatnya ditemukan tertanam di belukar dekat Rompin, Jempol pada Isnin.

Seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kandung mangsa ditahan dan kini direman polis Kontinjen Johor selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu mendapati mangsa maut akibat jerutan menggunakan pengikat kabel.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!