'Pernah dengar mangsa menangis, ibu bapa bergaduh'

PASIR GUDANG - Jiran kepada keluarga kanak-kanak, M Tishant, 6, yang mayatnya ditemukan ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan mendakwa pernah mendengar mangsa menangis teresak-esak.
Kamarudin Abdullah, 47, berkata, dia tinggal berjiran dengan keluarga berkenaan sejak setahun lalu namun tidak mengetahui punca sebenar tangisan kanak-kanak itu tetapi mengakui ia jarang berlaku.
“Saya tinggal berjiran dengan mereka sejak setahun lalu. Pernah terdengar suara mangsa menangis dan bunyi pertengkaran antara ibu bapanya. Tapi saya tidak tahu apa puncanya.
“Saya difahamkan kanak-kanak itu hilang beberapa hari lalu. Saya pernah berbual dengan ibu bapa mangsa namun mereka kurang bercampur dengan jiran.
“Rumah ini dipercayai milik keluarga ibu mangsa dan sebelum ini dihuni adik-beradik wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Seri Alam, Masai.
Jelasnya, sejak sebulan lalu, pasangan terbabit tidak tinggal di kediaman berkenaan namun mereka tetap mengunjungi rumah itu sesekali secara berasingan.
“Saya tidak sangka perkara seumpama ini berlaku.
“Sebagai jiran, saya berasa sangat sedih dan dukacita atas nasib yang menimpa mangsa,” jelasnya.
Tinjauan Sinar Harian di kediaman keluarga itu juga mendapati rumah berkenaan berkunci dan tidak kelihatan kelibat penghuni.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

