'Pengaruh media sosial, dakwaan disebar pantas tanpa semakan cabaran buat SPRM' - Ahmad Khusairi

GENTING HIGHLANDS - Pengaruh media sosial dengan pelbagai dakwaan, tuduhan dan persepsi yang disebarkan dengan pantas tanpa semakan menjadi cabaran besar kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, dalam banyak keadaan, kes masih dalam siasatan, bukti sedang dikumpulkan, namun SPRM telah pun dihakimi di mahkamah media sosial.
Menurutnya, lebih membimbangkan, ruangan komen sering dimanipulasi oleh kumpulan tertentu yang diwujudkan secara terancang untuk menyemai kebencian dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap SPRM.
"Dalam dilema ini, apabila SPRM tidak bertindak segera, kami dituduh cuba melindungi pihak tertentu.
"Namun apabila SPRM mengambil tindakan tegas berlandaskan undang-undang, kami pula dilabel sebagai bertindak secara terpilih atau menjadi alat politik.
"Hakikatnya, setiap tindakan SPRM adalah berasaskan bukti, peruntukan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan. Semua tindakan ini bukan berdasarkan tekanan media sosial, bukan kerana sentimen awam dan bukan juga kerana kepentingan mana-mana pihak," katanya selepas Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Pencegahan dan Usaha Memerangi Rasuah di sini pada Jumaat.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Ahmad Khusairi berkata, elemen teras dalam setiap siasatan SPRM khususnya ialah kejutan dan kerahsiaan.
Tambahnya, kenapa elemen kejutan dan kerahsiaan ini penting.
Katanya lagi, peranan media sangat penting dalam menyebarkan maklumat yang tepat kepada masyarakat.
"Laporan-laporan berita atau artikel yang disiarkan oleh media, perkara utama yang kita mahukan adalah ia dapat mendidik masyarakat untuk sama-sama menolak serta mencegah rasuah seterusnya mewujudkan negara bebas rasuah.
"Namun, apa yang menggusarkan adalah apabila wujudnya penyebaran berita tidak benar dan tidak tepat," ujarnya.
Ringkasan AI
- Pengaruh media sosial menjadi cabaran besar kepada SPRM dengan dakwaan dan persepsi yang disebarkan tanpa semakan
- SPRM dihakimi di mahkamah media sosial sebelum siasatan selesai
- Ruangan komen media sosial dimanipulasi untuk menyemai kebencian dan menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap SPRM
- Tindakan SPRM berasaskan bukti, undang-undang dan prosedur yang ditetapkan, bukan tekanan media sosial
- Elemen kejutan dan kerahsiaan penting dalam siasatan SPRM, manakala peranan media penting menyebarkan maklumat tepat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
