'Iya ke?' - Soal Azam Baki kepada Rafizi berkait dakwaan serbuan SPRM

SHAH ALAM - "Iya ke?".
Itu reaksi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ketika mengulas kenyataan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang mendakwa suruhanjaya itu akan melakukan satu serbuan terhadapnya susulan laporan berhubung penyelewengan melibatkan pelaburan berjumlah RM1.11 bilion.
Menurut Azam, beliau berpegang kepada kenyataan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya yang memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti dokumen berkaitan kes itu.
"SPRM sedang meneliti dokumen yang dikemukakan oleh pihak badan bukan kerajaan (NGO) semalam (Khamis).
"Kertas siasatan belum dibuka lagi, jadi kenapa Rafizi maklum beliau bakal diserbu? SPRM hanya melakukan tugas dengan telus dan mengikut undang-undang," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sebelum itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa maklumat mengenai serbuan berkenaan dimaklumkan oleh satu sumber dalaman SPRM kepadanya pada pagi Jumaat.
Rafizi bagaimanapun menegaskan beliau bersedia untuk sekali lagi melalui pengalaman intimidasi daripada pihak berkuasa ekoran tindakannya membangkitkan isu penyelewengan melibatkan SPRM seperti dilaporkan media antarabangsa, Bloomberg.
Pada Khamis, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dilaporkan membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang bekas menteri di sebuah kementerian.
Ia membabitkan perjanjian antara kerajaan Malaysia dengan sebuah syarikat luar negara yang didakwa melibatkan nilai hampir RM1.1 bilion dan dimeterai pada awal tahun lalu.
Laporan itu dibuat secara bersama oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Angkatan Nadi Jiwa Islam Malaysia (Panji Malaysia) di Ibu Pejabat SPRM.
Ringkasan AI
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki terkejut dengan dakwaan Rafizi Ramli tentang serbuan terhadapnya
- Azam menyatakan SPRM sedang meneliti dokumen berkaitan penyelewengan RM1.1 bilion
- Belum ada kertas siasatan dibuka terhadap kes yang diungkap Rafizi
- Rafizi mendapat maklumat tentang serbuan daripada sumber dalaman SPRM
- Tiga NGO membuat laporan ke SPRM mengenai penyelewengan yang melibatkan bekas menteri dan syarikat luar negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
